Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Sokongan enam Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh memberi kesan kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai 16 November ini.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tindakan itu menyebabkan sasaran UMNO dan BN untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 80 peratus sokongan pengundi Melayu tidak tercapai.

“Saya minta maaf kerana saya terpaksa menegur rakan-rakan Ahli Parlimen kita yang (menyatakan) sokongan (kepada) Tun Dr. Mahathir untuk terus kekal sehingga hujung penggal ini.

“Pertamanya, ia memberi impak kepada PRK Tanjung Piai. Pengundi Melayu yang menjadi sasaran UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ialah sebanyak 57 peratus. Kalau nak menang, calon BN kena dapatkan 80 peratus undi Melayu.

“Bagi saya, pendirian enam Ahli Parlimen UMNO ini pada ketika ini akan mengelirukan pengundi Melayu yang berada di atas pagar. (Pengundi anggap) apa bezanya antara UMNO dan PPBM sekarang ini?,” katanya beliau semalam.

Khamis lalu, enam Ahli Parlimen UMNO tampil memberi sokongan agar Tun Dr. Mahathir meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Enam individu berkenaan ialah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Dalam satu sidang media di Lobi Parlimen, mereka berkata, Dr. Mahathir perlu terus menjadi Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara terus menjadi keutamaan.

Menurut Shahrir, walaupun UMNO juga tidak mahu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, tetapi tetap menganggap itu isu dalaman Pakatan Harapan (PH).

Mengenai pendirian sama 18 Ahli Parlimen dari Pas, katanya, itu pendirian parti, tetapi enam Ahli Parlimen UMNO telah mendahului parti.

“Pada saya yang hanya seorang ketua parti, bukan seorang wakil rakyat, tentulah saya rasa enam Ahli Parlimen kita itu sudah bersikap “aku YB ke kau YB”.

“Dalam keadaan rakyat marah kerana tertekan dengan kegagalan dan kelemahan kerajaan PH, adakah sokongan kepada Tun Dr. Mahathir mampu menyelesaikan masalah rakyat dan negara?

“Begitu naif Ahli Parlimen kita! Maaf banyak-banyak. (Saya) marah kerana memikirkan PRK Tanjung Piai,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

MP BN sokong Tun M tidak perlu datang kempen PRK Tanjung Piai