Foto hiasan

JOHOR BAHRU – Sambutan perayaan Deepavali sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas sumbu bunga api yang dinyalakan di rumahnya, meletup, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah malam di rumah mangsa di Jalan Mutiara 1, Taman Mutiara dekat Kulai.

Beliau berkata mangsa, warga tempatan berusia 25 tahun, mengalami kecederaan parah hampir di keseluruhan badan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk menerima rawatan namun meninggal dunia di hospital berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan muka, manakala tubuh dari bahagian bawah hingga ke dada pula melecur serta patah tangan sebelah kiri.

“Terdapat juga pendarahan di dalam kepala mangsa yang mana pegawai perubatan percaya adalah akibat daripada letusan bunga api yang kuat mengenai muka dan dada kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bapa mangsa berusia 52 tahun kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada pukul 11.07 pagi, Ahad.

Tok berkata hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

— BERNAMA