Mohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak akan melakukan pemeriksaan keselamatan dan semakan latar belakang khas kepada rakyat Hong Kong yang berhasrat memohon Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Keputusan tersebut diambil bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya (MOTAC) dan Jawatankuasa Semakan Semula.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi, sama seperti warga negara lain yang turut memohon menyertai program MM2H, rakyat Hong Kong juga hanya perlu memenuhi syarat umum selain kelayakan kewangan serta bebas rekod jenayah dalam Surat Berkelakuan Baik yang akan dihantar oleh pihak berkuasa tempatan negara pemohon kepada MOTAC.

“MOTAC mengalu-alukan semua rakyat asing tanpa mengira bangsa, jantina dan agama untuk menyertai program MM2H.

“Di bawah MM2H, kami bukan sahaja mengalu-alukan principal tetapi juga pasangan mereka, anak-anak di bawah usia 21 tahun serta ibu bapa dan ibu bapa mertua.

“Dengan itu, anda boleh bergembira dengan seisi keluarga di sini dan menjalani kehidupan berkualiti tinggi.

“Bagaimanapun, di bawah pengawasan baharu terhadap program MM2h, penting untuknya memacu transformasi dan membawa program ini ke era baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamaddin mengharapkan rakyat Hong Kong memberi pertimbangan serius menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.

Kementerian, katanya, sedang merancang beberapa siri promosi dan aktiviti sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan kerjasama Malaysia Airlines termasuk pakej pada harga istimewa HK$2020.

Jelasnya, walaupun Malaysia tidak boleh mengira jumlah kedatangan rakyat Hong Kong kerana ia berada di bawah kategori pasaran China, namun MOTAC tetap yakin jumlah kedatangan warga bandaraya pulau itu tetap sama seperti 2019 meskipun penganalisis ekonomi meramalkan ekonomi Hong Kong akan meleset tahun depan.

Ini kerana warga Hong Kong katanya masih bersemangat untuk melancong dan mengembara.- MalaysiaGazette