Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pengutip besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh A. Kalaimughilan, 28, yang memakai baju kemeja bercorak biru putih mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang di sini dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Okt lepas.

Antara item-item tersebut ialah cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), dan pelekat berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette