Chong Chieng Jen

KUALA LUMPUR – DAP telah mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu berhubung kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk kerajaan tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Displin DAP, Chong Chieng Jen berkata, parti itu kini sedang menunggu maklum balas daripada Ronnie berhubung surat tunjuk sebab yang telah diberikan kepadanya.

“Surat tunjuk sebab sudah diberikan kepada Ronnie, dan DAP sedang menunggu surat balas daripada beliau.

“Prosesnya adalah mengemukakan surat tunjuk sebab, bila dia sudah balas kita akan buat keputusan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Stampin ditanya mengenai perkembangan terbaharu DAP mengenai isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu yang mempersoalkan kesepakatan Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, menyifatkan tindakan Ronnie itu dilihat sebagai tindakan sabotaj parti dan satu tindakan yang sangat serius.

Oleh yang demikian, Anthony berkata, DAP akan merujuk Ronnie Liu Tian Khiew ke jawatankuasa disiplin parti kerana kenyataan itu.

Beliau turut berkata kenyataan itu amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab malah tidak mencerminkan pendirian parti. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bukan Tun M pegang tongkat sakti