Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika bercakap kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan prakata yang tertera namanya dalam komik “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” oleh bekas pemimpin DAP Hew Kuan Yau adalah daripada pihaknya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu enggan membuat sebarang komen mengenai prakatanya.

“Itu semua sudah ada. Ini semua ada sana, itu kita tak nafi.

“Bila ini berlaku saya di luar negara untuk urusan rasmi.

“Difahamkan proses perundangan sedang terus berjalan, biar ia (siasatan) berjalan dulu supaya saya tidak membuat komen disalahtafsirkan sebagai campur tangan.

“Kita tak mahu dilihat menyalahgunakan kuasa. Biar proses perundangan berjalan dulu,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Artikel berkaitan: Komik BRI: Mengapa pula Guan Eng tulis pengantar jika DAP tiada kaitan?

Guan Eng sudah lama dicari pihak media bagi mendapatkan komen beliau mengenai prakata yang menggunakan namamya dalam komik kontorversi tersebut.

Prakata yang tertera nama Lim Guan Eng.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat hantaran di Facebook mempersoalkan DAP selepas ketua menteri Pulau Pinang dan ketua pemuda DAP menafikan parti itu mempunyai apa-apa kaitan dengan sebuah komik.

Dalam tulisan di media sosial itu Najib berkata, “seorang bernama Lim Guan Eng” yang menggunakan gelaran menteri kewangan dan setiausaha agung DAP menulis prakata dalam komik tersebut.

Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan komik kontroversi “Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama,” bersekali dengan versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

Dalam satu kenyataan susulan, KDN berkata, larangan itu dikuatkuasakan ekoran kandungan penerbitan mengandungi elemen yang boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan orang awam, serta mungkin menggemparkan fikiran masyarakat.

Kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosi ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai perjuangan komunis, serta membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan fahaman itu. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast