Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menuntut penjelasan lanjut daripada Dr. Maszlee Malik berhubung isu komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Ini selepas Menteri Pendidikan itu berkata tindakan beberapa pemimpin kerajaan yang menerima naskhah komik itu  tidak boleh dijadikan bukti pengiktirafan.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki bertanya, adakah Maszlee yakin kerajaan tidak mengiktiraf komik tersebut sedangkan terang-terang Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang juga Duta Khas Malaysia ke China dan Setiausaha DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menulis prakata yang dalam komik tersebut.

Soalnya lagi, apakah benar Maszlee yakin Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching tidak menyokong komik propaganda tersebut sedangkan semua bukti yang tersebar di media sosial menunjukkan DAP adalah tulang belakang penerbitan komik tersebut termasuklah hak cipta dimiliki DAP dan penerbitan dicatatkan dalam komik oleh pejabat DAP Kuala Lumpur.

“Apakah benar YB yakin Timbalan Menteri YB tidak tahu langsung akan pengedaran komik tersebut ke 2,500 sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia sedangkan ia dilakukan hanya dua minggu selepas pertemuan rasmi penyerahan komik dibuat oleh pelukisnya Hew Kuan Yau kepada Teo di pejabat Timbalan Menteri?

“Apakah YB percaya dengan penuh yakin bahawa tiada perbincangan dilakukan antara Teo Nie Ching dengan Superman Hew berkenaan komik tersebut sedangkan Hew Kuan Yau dalam bahasa Cina sendiri mengaku beliau telah memberi taklimat bagaimana “Inisiatif Jalur & Jalan” (yang juga tajuk komik itu) memberi manfaat kepada pelajar sekolah?,” soal Asyraf lagi.

Hujahnya lagi, apakah Maszlee bersedia untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pelukis komik propaganda DAP itu yang menggambarkan bangsa sendiri orang Melayu sebagai rasis, chauvinis, bahkan radikal termasuklah karikatur dalam komik yang menggambarkan Melayu radikal kerana menyokong etnik minoriti Uighur yang dizalimi Kerajaan China.

Sehubungan itu, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO merayu dan menyeru, Maszlee supaya kata yang benar walaupun pahit.

Tambahnya, Maszlee tidak perlu dilihat terlalu tunduk kepada DAP sehingga sanggup pertahankan mereka walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah.

Ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN UMNO- Kuala Kangsar), Maszlee berkata, penyebaran gambar beberapa pemimpin kerajaan yang menerima naskhah komik propaganda tidak boleh dijadikan sebagai bukti pengiktirafan.

Ia juga merujuk kepada insiden yang mana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diambil gambarnya.

“Ini bukan satu insiden terpencil. Ramai menteri, Ahli Parlimen kadang-kadang diserbu, diberi buku lantas diambil gambarnya. Ini tidak boleh dijadikan sebagai bukti pengiktirafan.

“Beliau (Timbalan Menteri Pendidikan) tidak pernah keluarkan kenyataan bertulis mengiktiraf (komik itu). Tidak kiralah gambar Timbalan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), yang penting Menteri Pendidikan tidak membenarkannya. Keputusan di tangan saya,” kata Maszlee. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast