KUALA LUMPUR – Keputusan untuk meletakan calon MCA untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai membuktikan UMNO yang di anggap sebagai ‘big brother’ dalam komponen Barisan Nasional (BN) mementingkan semangat permuafakatan.
Walaupun majoriti pengundi di kawasan itu Melayu namun UMNO tetap berpegang teguh dengan objektif penubuhan BN.
Ia juga antara punca mengapa selepas pengumuman Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon BN para pengkritik terus mengunci mulut daripada terus melabel UMNO sebagai tamak dan rasis.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menyambut baik keputusan mencalonkan semula Jeck Seng berkata, UMNO telah membuktikan visi dan misi penubuhan bersama BN dengan komponen lain masih lagi utuh jberbanding suasana ‘kacau bilau’ dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertengkar dan tidak sependapat.
“Terdahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi yang masih lagi memastikan kita semua dalam komponen berada dalam keadaan bersatu padu bukan sahaja pada saat-saat gembira sebaliknya juga pada saat-saat genting.
“Walaupun UMNO mempunyai suara paling lantang dengan dominasi masyarakat Melayu namun hakikatnya kami yang minoriti juga tidak perlu diabaikan. Inilah sebenarnya yang telah diperjuangkan selama puluhan tahun oleh UMNO dan BN, ianya tetap kekal sama.
“Kepentingan semua tidak kira kaum dalam komponen, setiap suara kami ini tetap didengari. Bukan seperti segelintir pihak yang suka buat tohmahan bagaimana parti gergasi ini menguasai yang lain-lain. Itu semua gimik untuk menang undi, akhirnya rakyat nampak juga keikhlasan UMNO.
“Pada saya dengan memberi laluan kepada calon MCA sebenarnya terang lagi bersuluh bagaimana UMNO tidak tamak kuasa sebaliknya memberikan laluan setelah meneliti semua aspek dengan sehabis baik.
“Kita akan bersama-sama berjuang bagi memastikan kemenangan ini milik BN secara keseluruhan, yang cakap banyak sebelum ini buat tohmahan boleh tutup mulut selepas ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam masa sama, Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan Negara mengimbau kembali senario bagaimana kerusi Cameron Highlands yang merupakan kerusi tradisi MIC dipinjamkan sementara kepada BN pada masa itu.
“Ketika itu macam-macam kita dengar. Tapi akhirnya bukankah strategi itu telah memenangkan BN? DAP kalah berturut-turut pada masa itu. Sukar untuk rampas kembali kerusi tersebut walaupun ‘macam-macam’ mereka dalam PH lakukan.
“Pada masa itu, kita sedang lalui satu situasi yang sukar yang memerlukan kita untuk membuat satu keputusan tanpa mementingkan satu pihak sahaja, kita juga pada masa itu dalam proses untuk mengembalikan kembali keyakinan dan maruah BN.
“Jangan kita lupa bagaimana kita menang lagi di PRK Rantau, walaupun letak petisyen namun kemenangan masih lagi berpihak kepada kita kerana rakyat masih mahukan BN dan UMNO,” ujarnya.
Vigneswaran yakin kemenangan bakal dicapai jentera BN dengan kerjasama Pas bagaimanapun tidak boleh memandang remeh PRK itu.
Kata beliau, ini merupakan ‘ujian’ besar buat MCA untuk mengembalikan kepercayaan bukan sahaja kaum itu sebaliknya kaum lain.
“Ini juga satu medan buat MCA bagi mengembalikan kepercayaan pengundi Cina, satu waktu genting yang kita semua akan sama-sama harungi bersama-sama. Kita ada starategi, yang pastinya kerjasama serta permuafakatan utuh itu adalah antara kunci kepada kejayaan ini.
“Hasil daripada percaturan ummah serta permuafakatan nasional, ini adalah satu ujian buat hubungan antara MCA dan Pas. Bagaimana MCA menerima sokongan yang akan diberikan oleh Pas tanpa berbelah bahagi di medan PRK Tanjung Piai kelak.
“Kita lihat sama-sama bagaimana sejarah tercipta nanti,” katanya. –MalaysiaGazette