KUALA LUMPUR – Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sudah dibanjiri lautan Merah Biru dan Hijau Kuning menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah malam ini.
Penyokong kedua-dua pasukan mula hadir ke stadium sejak jam 12 tengah hari tadi sekali gus menghangatkan lagi bahang final ulangan dua musim lalu itu.
Malah ada sekelompok penyokong yang sudah mula beratur di pintu masuk untuk pasukan masing-masing walaupun pintu masuk hanya dibuka pada pukul 4 petang tadi.
Namun, kehadiran penyokong Kedah dan JDT agak seimbang walaupun mereka datang daripada utara dan selatan tanah air.
Walaupun pintu masuk diasingkan antara penyokong, namun tidak ada masalah untuk penyokong Kedah dan JDT sama-sama berkumpul dan beramah mesra serta bergambar bersama sebelum perlawanan bermula.
Nyata perseteruan membabitkan pasukan mereka tidak menghalang mereka untuk turut sama menyaksikan perlawanan akhir yang bakal berlangsung 9 malam nanti.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi Tiket Hotline, Datuk Zairil Ayu Ibrahim mengingatkan kepada peminat bola sepak tempatan yang bakal menyaksikan perlawanan akhir itu untuk mematuhi segala peraturan mengikut pintu masuk yang betul.
Jelasnya, setiap tiket mempunyai bar code yang akan membezakan kategori tiket dan para penyokong perlu memasuki pintu yang sepatutnya bagi memudahkan mereka mencari tempat duduk.
Paling utama, Zairil berharap semua penyokong dapat memberi kerjasama dan tidak membuat sebarang kekecohan apatah lagi ini merupakan perlawanan yang akan menjadi perhatian membabitkan juara Liga Super dan juara Piala FA. – MalaysiaGazette