PONTIAN – Pakatan Harapan (PH) menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai medan pertarungan yang sukar.
Ini kerana mereka berdepan Barisan Nasional dan Gerakan yang tidak boleh diambil ringan dalam proses demokrasi pada 16 November ini.
Justeru, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PH memilih calon mereka, Datuk Karmaine Sardinie kerana yakin boleh mengekalkan kerusi itu sekali lagi.
Bagaimanapun beliau mengakui terdapat beberapa kerja dan perkara yang dikenalpasti perlu dilaksanakan untuk menjamin kemenangan selepas bekas penyandangnya, Allahyarham Dr. Md. Farid Md. Farik meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.
“Saya boleh katakan ini kerajaan PH dan Menteri Besar Johor juga dari PH dan hak mengundi memilih sesiapa sahaja adalah hak pengundi tetapi biarlah dari PH.
“Di bawah kerajaan ini penduduk lagi mudah untuk berurusan dan menyuarakan masalah disamping mencari penyelesaian serta membawa pembangunan kebajikan, ekonomi yang sangat diperlukan mereka,” katanya dalam sidang media selepas keputusan penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini.
Muhyiddin menganggap PRK Tanjung Piai satu misi sukar yang tidak akan dipandang ringan kerana apa sahaja boleh berlaku sepanjang 14 hari berkempen.
Justeru beliau mahu jentera PH digerakkan secara total dengan pendekatan terbaik untuk menangani isu pengundi dan meraih sokongan mereka.
Ditanya mengenai pendapat pembangkang kononnya trend kemenangan tiga PRK lalu akan berulang di Tanjung Piai, beliau berkata, ia sekadar pandangan mereka sahaja.
“Itu pandangan beliau, memanglah dia sebagai ketua UMNO BN dia akan kata begitu tapi kita tidak boleh andaikan begitu kerana kita tahu Tanjung Piai juga ada aspirasi dan pilihan sendiri, hampir-hampir menang sudah ada tapi akan menambah input yang diperlukan untuk menang,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan bilangan nombor 4 yang diperoleh Karmaine atas kertas undi adalah nombor bertuah yang bakal membawa kemenangan.
Beliau juga percaya pemilihan Karmaine adalah tepat kerana kelayakannya sebagai tokoh yang berpengalaman, perwatakan baik dan beragama.
“Saya berharap dalam apa jua keadaan sekali pun, cuaca ribut taufan pun, tanggungjawab pengundi penting dan kita mahu peratusan pengundi keluar baik Melayu, Cina dan India itu tinggi walaupun PRK kecil tetapi ada signifikan besar,” ujarnya.
Menurutnya, PH akan memberi penekanan terhadap isu peluang pekerjaan, masalah kos sara hidup, kesihatan, pendidikan, ekonomi dan pencemaran.
“Kita juga akan fokus usaha untuk menambah peluang pekerjaan, di sebahagian Tanjung Piai terpaksa berhijrah ke Johor Bahru, Singapura dan KL dan perlu cari jalan menarik lebih banyak pelaburan membangunkan sektor ekonomi yang boleh membawa banyak peluang pekerjkaan untuk anak anak muda.
“Ini yang saya minta kepada calon untuk tekankan dalam kempen nanti kerana ia memberi satu tawaran agak baik kepada pengundi terutama pengundi muda untuk tingkatkan pendapatan,” jelasnya.
Selain itu katanya, jentera PH sudah bersedia lebih sebulan lalu melibatkan kesemua 27 pusat mengundi dan 15 jawatankuasa kecil yang menggerakkan bidang portfolio tertentu menerusi kempen.
Ditanya usaha PH untuk memastikan pengundi kerja di luar daerah untuk balik mengundi, Muhyiddin berkata, PH ada satu pasukan khas yang menghubungi pengundi melalui pelbagai medium komunikasi.
“Untuk pengundi bekerja di Singapura saya sebagai menteri bertanggungjawab untuk melicinkan perjalanan di Tambak Johor telah bincang dengan imigresen dan menyediakan laluan khas mereka yang terlibat mengundi pulang bermula 12 tengah malam hingga 5 petang pada hari mengundi jika datang dari Singapura,” tegasnya.- MalaysiaGazette