Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Pertembungan enam penjuru dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai tidak dilihat menyekat peluang MCA untuk menang kerusi berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong,  sesiapa sahaja rakyat Malaysia layak bertanding, kerana itu adalah adat pertandingan.

“Kita tidak pernah gentar sama ada dua atau enam orang bertanding, itu bukan masalah.

“Yang penting kita tumpukan perhatian kita kepada dua minggu tempoh berkempen ini untuk memastikan pada 16 November ini kita dapat capai kemenangan. Itu sasaran kita,” katanya ketikak di temui di Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dianjurkan MIC, hari ini.

Hadir sama adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran sebagai tuan rumah.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan berlakunya pertandingan enam penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua orang calon Bebas.

Mereka adalah Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini; bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam; Presiden Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

PRK Tanjung Piai bakal diadakan 16 November depan manakala undian awal akan diadakan pada 12 November ini.

Dalam pada itu, Ka Siong mengucapkan terima kasih kepada Pas kerana terus menyokong parti itu di Tanjung Piai.

Katanya, MCA amat menghargai sokongan Pas itu atas dasar Muafakat Nasional yang dipamerkan bersama UMNO.

“Saya ucapkan terima kasih pada mana-mana pihak yang sudi beri sokongan kepada MCA.

“Kita memang mengalu-alukan sokongan daripada semua kalau kita tidak mendapat sokongan daripada pengundi khususnya di Tanjung Piai tidak mungkin kita boleh menang.

“Jadi sesiapa yang merestui calon, kita mempunyai matlamat yang sama untuk  memberi elemen semak dan imbang,” katanya lagi.

Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu telah mengarahkan ahlinya di Tanjung Piai untuk mengundi calon BN, Wee Jeck Seng.

Malah katanya, pimpinan Pas Pusat tidak memberi restu kepada Berjasa untuk bertanding di Tanjung Piai.

“Apa yang saya boleh beritahu sebetulnya Berjasa tidak mendapat restu dari PAS (untuk bertanding).

“Walaupun Berjasa dari Gagasan Sejahtera, kami juga sudah nasihat mereka untuk tidak letak calon tetapi mereka letak, itu kehendak mereka.

“Kita akan beri arahan kepada ahli PAS untuk tidak undi Berjasa, tidak satu undi pun. Semua harus undi MCA,” katanya semalam. -MalaysiaGazette