Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini berucap pada Ceramah Kelompok Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan PDM Penerok, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Pihak luar yang sibuk menyebarkan fitnah melampau mengenai kelayakan akademik calon Pakatan Harapan dicabar supaya berani tampil membuktikan tuduhan tersebut beserta bukti kukuh.

Karmaine Sardini, 66, berkata, beliau tidak perlu membuktikan kepada umum mengenai kesahihan sijil atau kelayakan akademiknya seperti yang didesak oleh pihak tertentu yang dengki dengan perkembangannya.

“Dia tuduh sijil akademik saya palsu dan mempersoalkan kelayakan saya bertanding, maka dia kena tampil buktikan kepada kita semua bahawa sijil saya palsu.

“Saya tak perlu membuktikannya, orang yang menyebarkan fitnah perlu buktikannya,” katanya semasa berucap di ceramah Kelompok Pusat Daerah Mengundi Penerok, DUN Kukup, sempena hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai malam ini.

Menurut Karmaine, masyarakat khususnya di Tanjung Piai perlu berhati-hati apabila menerima isu-isu viral seperti itu yang belum tentu kesahihannya.

“Sata pernah berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan ia antara pengalaman latarbelakang profesion saya dan semua ini turut dipersoalkan dan disalahtafsir pihak tertentu.

“Rasanya benda macam ini kita kena berhati hati dan media sosial memainkan peranan lebih penting memastikan orang tidak terpedaya dengan dakyah.

“Benda palsu merebak ramai mula percaya. Saya harap rakyat tengok betul-betul sahih atau tidak sesuatu isu yang diviralkan seseorang itu, maknanya buat macam itu, ia umpama langgar tatasusila sebagai manusia,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast