KUALA LUMPUR – Selepas 21 tahun, rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Anulus (Cincin) pada 26 Disember ini.
Kali ini fenomena alam itu boleh di dilihat dengan sempurna di kawasan Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak.
Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari, berkata Gerhana Matahari Cincin itu pernah disaksikan di Mersing pada tahun 1998 dan dijangka berulang lagi pada tahun 2042.
Katanya, Gerhana Matahari Cincin dijangka bermula jam 1.21 petang hingga 1.23 petang di Tanjung Piai manakala di Serian pula, fenomena itu akan berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit dari 1.46 petang hingga 1.50 petang.
“Pada waktu sama, seluruh negara juga akan turut mengalami fenomena itu di mana Gerhana Matahari Separa bermula kira-kira 10.30 pagi sehingga 3.30 petang,” katanya pada sidang media Gerhana Matahari Anulus hari ini.
Hadir sama Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Sains, Teknologi, Industri dan Pembudayaan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor serta Ketua Pegawai Eksekutif Strate Gist Sdn Bhd, Sufian Said.
Bersempena fenomena alam semesta itu, Anita berkata, pihaknya akan menjalankan aktiviti mencerap Gerhana Matahari Anulus di Tanjung Piai serta lintas langsung dari Planetarium Negara, Serian serta beberapa negeri lain.
“Kita akan mengadakan Festival Solar Malaysia 2019 (Solarfest2019) selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Disember dengan menampilkan pelbagai aktiviti bertemakan solar dan alam sekitar,” katanya.
Anita berkata, festival yang menyasarkan 30,000 pengunjung termasuk peminat astronomi antarabangsa sepanjang tempoh penganjuran itu juga bakal disertai ahli-ahli astrofizik dan selebriti tempatan, kempen kesedaran alam sekitar dan solar gastronomi.
Pada kemuncak acara 26 Disember itu, orang ramai khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin melalui teleskop dan cermin mata percuma disediakan Planetarium Negara.
Sementara itu, Sufian berkata, Strate Gist yang bertangungjawab mengurus acara SolarFest2019 julung kali memperkenalkan pelancongan astro sebagai tarikan terbaru pelancongan ke Malaysia.
“SolarFest2019 Planetarium Negara di Tanjung Piai adalah projek perintis untuk menarik peminat astronomi dari seluruh dunia untuk datang ke Malaysia.
“Kita lihat banyak potensi fenomena alam semesta yang boleh diperkenal dan dipopularkan dalam pelancongan Astro di Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette