KUALA LUMPUR – Mungkin generasi muda sekarang tidak mengenali Rosli Mohalim seperti mengenali Papa Rock, Datuk Ramli Sarip.

Rosli atau nama sebenarnya, Rosli Dollah kini berusia 65 tahun sebenarnya merupakan ahli kumpulan Sweet Charity bersama Ramli tetapi sebagai pemain gitar utama.

Lagu-lagu evergreen seperti Teratai, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-Lama dan banyak lagi merupakan hasil petikan gitarnya.

Rosli menjejakkan kaki dalam industri hiburan dengan menyertai kumpulan kugiran di era 1960-an, The Honey Beats melalui bapa angkatnya, Awang Bakar di Singapura.

Pada mulanya, Rosli cenderung untuk bermain dram dan selepas lulus peperiksaan di Sekolah Rendah Clemanti pada 1967, bapa angkatnya menghadiahkan sebuah gitar akustik jenama Rossini.

Sebaik lulus pula pengajian dalam jurusan Seni Halus di Nanyang Academy di Bencoolen Street, Singapura pada 1975, Rosli akhirnya menyertai kumpulan Sweet Charity pada tahun 1977.

Biarpun bakatnya ketika awal terarah pada posisi sebagai pemain dram, dia bagaimanapun memberi tumpuan sebagai pemain gitar selepas menyertai kumpulan itu.

Lebih 40 tahun bergelar anak seni dengan memperjuangkan genre blues, pop dan rock, Rosli kini boleh berbangga apabila memiliki 10 album selain menjayakan empat konsert mega.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya dalam industri seni tanah air, Semangat Zaman Muzik dengan sokongan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) menganjurkan Konsert The Legend 40 Tahun Rosli Mohalim.

Ia akan diadakan di Panggung Asia, Gombak, Selangor pada 29 November 2019, menurut satu kenyataan media IRAMA baru-baru ini.

Konsert dua jam bermula 9 malam hingga 11 malam memberi peluang kepada peminat untuk mendengar semula petikan gitar yang akan dipersembahkan oleh Rosli sendiri.

Pada konsert ini, sebanyak 17 lagu akan dinyanyikan oleh tujuh penyanyi tempatan antaranya Zamani, Yabang Khalifah, Ameng Spring, Yazz Abdullah, Ammy Fara dan Zetty Rashid.

Konsert yang sama juga membawakan penampilan khas penyanyi jemputan, Bob Sentuhan Busker yang terkenal dengan persembahan jalanan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dalam konsert ini, 12 lagu yang dimainkan adalah lagu terdahulu ciptaan Rosli dan majlis sama menyaksikan empat lagu baharu akan dilancarkan di hadapan peminat.

Empat lagu itu adalah Ingkar dan Racun nyanyian Yazz Abdullah serta Hilang Gelap dan Negara Tercinta nyanyian Bob.

“Bagi menghiburkan peminat rock, Rosli juga mempersembahkan lagu Burn nyanyian asal Deep Purple untuk mereka.

“Konsert ini mencipta kelainan tersendiri apabila Zamani buat pertama kali akan menyanyikan lagu Aku Ingin Berkata dan Sejuta Wajah, yang mana secara kebiasaan penyanyi itu menghiburkan peminat menerusi lagu popular kumpulan Slam,” kata satu kenyataan IRAMA baru-baru ini.

Antara lagu lain dipersembahkan adalah lagu yang dekat dihati peminat iaitu Teratai, Kamelia, Sejuta Wajah, Jangan Tunggu Lama Lama, Aku Ingin Berkata dan Mawar Merah.

Melalui jualan tiket konsert itu, pihak penganjur juga berbesar hati untuk memberi sumbangan kepada bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia dan Kosmo yang diberhentikan kerja baru-baru ini.- MalaysiaGazette