KUALA LUMPUR – Sarawak memperuntukkan RM30 juta tahun depan untuk membantu anak Sarawak yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Berita gembira itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini dipetik daripada laporan Utusan Borneo.
“Perkara ini menjadi perhatian saya bahawa segelintir graduan anak Sarawak mengalami kesukaran untuk membayar balik pinjaman PTPTN atas sebab tertentu.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita amat memahami keadaan graduan kita dan akan berusaha mencari mekanisme terbaik untuk membantu mereka,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2020 di Kuching hari ini.
Bagi belanjawan yang sama, kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM9.891 bilion.
Abang Johari berkata, daripada jumlah itu RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.294 bilion bagi perbelanjaan operasi.
Belanjawan itu bertemakan ‘mempercepatkan pembangunan untuk kesejahteraan semua rakyat Sarawak’.
“Belanjawan 2020 terus menekankan enam strategik utama untuk merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan insklusif, mampan dan saksama bagi semua lapisan masyarakat,” katanya.
Belanjawan Sarawak 2019 memperuntukkan RM11.91 bilion.- MalaysiaGazette
Macam mana nak check nama pelajar yang layak menerima bantuan bayaran balik ptptn??