KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia sedang dalam proses menyemak semula dasar-dasar berkaitan anti-penggubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) yang bakal menyaksikan rangka kerja regulatori yang lebih “bersandarkan risiko” dan “bersandarkan prinsip”.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos berkata, bank pusat percaya industri telah bersedia untuk membangunkan dan memperluaskan kapasiti dalam segmen tersebut.
“Walaupun kita bergerak ke arah bersandarkan risiko, masih banyak yang perlu dilakukan.
“Ini termasuk mendidik semua orang di dalam industri ini yang mana bersandarkan risiko tidak bermakna seluruh risiko dapat dihindari.
“Walaupun penting kepada kita untuk melindungi sistem kewangan daripada disalah gunakan, namun kita juga perlu membenarkan insitusi-institusi kewangan untuk menjalankan tugasnya kepada ekonomi dan masyarakat.
“Dengan itu, rangka kerja regulatori ini memerlukan institusi-institusi berkaitan untuk meningkatkan tanggung jawab terhadap rangka kerja AML/CFT mereka secara individu.
“Mereka perlu mengukuhkan urus tadbir dalaman dan mengawal serta mempertahankan integrity kewangan, bukan kerana disuruh oleh Bank Negara tetapi kerana itu adalah tanggung jawab mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2019 di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tambah Nor Shamsiah, rangka kerja regulatori itu juga bakal meningkatkan penanda aras kepatuhan kepada institusi-institusi kewangan yang masih belum mempunyai sistem yang matang dari segi AML/CFT.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen Bank Negara dalam memastikan regulatori kewangan di negara ini menyokong agenda ekonomi digital.
Katanya, bank pusat dalam proses membangunkan garis panduan dasar e-KYC bagi mengukuhkan amalan pemain-pemain industri teknologi baharu.-MalaysiaGazette