KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan bersedia menghulurkan bantuan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menghidupkan semula MARA Digital Mall sekiranya diminta.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof ketika diminta mengulas cadangan menghidupkan semula pusat membeli-belah peralatan teknologi dan komunikasi itu berkata, segalanya terserah kepada kementerian yang bertanggung jawab.
MARA Digital Mall adalah milik Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebuah agensi di bawah KPLB.
“Jika mereka minta tolong, pastinya kami akan membantu dengan memudah cara, menyumbangkan idea, memberi bantuan di dalam menstruktur semula MARA Digital Mall.
“Setakat ini, saya serahkan kepada kementerian yang bertanggung jawab iaitu KPLB,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pembiayaan Alternatif kepada PKS di Asean di sini hari ini.
Pengerusi MARA Corp., Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebelum ini berkata, beliau mahu mengubah MARA Digital Mall dengan membenarkan peniaga menjalankan perniagaan mereka secara bebas di samping melengkapi pusat beli-belah tersebut dengan teknologi baharu.
Katanya, konsep MARA Digital Mall adalah salah bagaimanapun lokasinya amat strategik sekali gus menjanjikan potensi yang cerah.
Peniaga di situ katanya, hanya boleh mendapatkan produk daripada satu pembekal tunggal sahaja sehingga menyukarkan para peniaga untuk berdaya saing.
“Masalah sebenar pusat membeli-belah tersebut adalah campur tangan keterlaluan oleh kerajaan Barisan Nasional,” katanya kepada sebuah portal. -MalaysiaGazette