Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir pada sidang media selepas hadir pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 05 NOVEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Pengundi Tanjung Piai perlu memilih calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu bagi memudahkan kerajaan mengotakan janji yang dibuat sebelum ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana calon PH, Datuk Karmaine Sardini mewakili kerajaan Johor dan pusat.

Beliau yang juga Pengerusi PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya kemenangan akan berpihak kepada Karmaine namun semua pihak perlu bekerja keras.

“Kita telah bincang mengenai beberapa tindakan yang perlu diambil. Kita percaya boleh dapat kemenangan namun perlu bekerja kuat termasuk saya akan turun ke Tanjung Piai untuk terus berkempen.

“Saya harap pengundi akan beri kemenangan kerana jika PH menang, kita boleh tunai janji kerana kita mewakili Kerajaan Johor dan Pusat.

“MCA kalau boleh menang boleh apa kerana mereka tidak boleh tukar kerajaan Johor dan pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini malam ini.

Ditanya sama ada dengan kenyataan Karmaine yang meminta pengundi bersyukur walaupun harga kelapa sawit yang rendah akan memberi kesan kepada PH, Mahathir berkata, pembangkang tidak memahami isu tersebut.

Dalam satu ceramah kelmarin, Karmaine mengambil maklum akan rungutan berkenaan harga kelapa sawit yang turun serendah RM270 setiap satu tan tetapi mengingatkan keadaan pernah lebih buruk sebelum ini apabila harga kelapa sawit pernah jatuh kepada RM87 satu tan.

Pembangkang kemudian menjadikan kenyataan itu dalam kritikannya terhadap Karmaine, antaranya Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan yang mencabarnya untuk menyara hidup dengan pendapatan RM1,000 sebulan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.