KUALA LUMPUR – Bermula Januari tahun depan, konsep perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) motosikal akan dimulakan sebagai percubaan selama enam bulan.
Dalam tempoh itu, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, syarikat terbabit telah membuat permohonan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan perlu memenuhi beberapa peraturan seperti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Selain itu, ujarnya, penunggang motosikal perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan mempunyai lesen penuh selain kawasan yang dibenarkan hanya di Lembah Klang.
Dalam masa yang sama kementerian itu, tambah Anthony, melarang penumpang perkhidmatan motosikal e-hailing itu berumur 18 tahun ke bawah, demi keselamatan dan mengelakkan berlakukan eksploitasi kanak-kanak.
“Keempat hendaklah memakai tanda pakaian dan di motosikal kena ada tanda yang jelas, kelima hendaklah mematuhi semua peraturan jalan raya.
“Kita harap tempoh enam bulan kita dapat mengumpul data-data dan kita dapat melihat bagaimana konsep ini dapat diteruskan.
“Apabila konsep ini dibenarkan kita tidak terhad kepada satu syarikat ini bukan untuk Gojek sahaja terbuka kepada mana-mana syarikat,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen.
Sekalipun peluang untuk syarikat pengendali tempatan dibuka secara luas tanpa had untuk mencuba perkhidmatan ini, Gojek yang terkenal di Indonesia juga tidak dihalang menawarkan perkhidmatannya selagi ia memenuhi syarat, kata Ahli Parlimen Seremban itu.
Anthony berkata, syarikat pengendali digalak mengambil insurans untuk penumpang dan penunggang.
Selepas tempoh enam bulan tamat, ujarnya, kerajaan akan menilai tahap keberkesanan terhadap perkhidmatan itu.
Sekiranya kerajaan berpuas hati, maka pindaan terhadap undang-undang berkaitan akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk kelulusan sebelum ia dibawa ke peringkat Dewan Negara.
Berikutan itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak terlalu bersikap negatif dengan konsep perkhidmatan itu kerana ia masih berada pada peringkat percubaan.
“Kalau konsep ini dapat membuktikan dapat menyelesaikan masalah pengangkutan awam maka kita akan melihat bagaimana untuk meneruskan perkhidmatan ini. Jangan terlalu negatif dulu, kita lihat dulu,” tambahnya. – MalaysiaGazette