Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. foto SYAFIQ AMBAK, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempertahankan kenyataannya yang mendakwa pembangkang sebagai rasis ketika berkempen di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio Tanjung Piai.

Jelas beliau, ucapannya itu sekadar peringatan kepada parti pembangkang yang menyebarkan ucapan bersifat terlalu keagamaan sehingga menghukum kumpulan lain yang tidak menyokong mereka.

“Kalau tidak ikut kumpulan kami, kamu akan munafik kamu, akan masuk neraka. Ini berlaku dalam neagara kita pada hari ini. Oleh itu saya sekadar memperingatkan.

“Saya memperingatkan mana parti mainkan isu perkauman melampau berkawan dengan parti agama melampau kita kena berhati dan kita tidak mahu negara Malaysia yang aman damai hari ini yang didiami pelbagai penganut agama dan pelbagai kaum dan perlembagaan yang mengizinkan kita menganut pelbagai agama.

“Kita junjung agama Islam sebagai agama persekutuan jadi kita mengekalkan keharmonian, jangan ada satu ucapan yang rasis berbaur agama yang dimainkan dalam PRK Tanjung Piai,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Tambah beliau, tidak mustahil Malaysia akan menjadi seperti negara bergolak sekiranya tindakan mengeluarkan ucapan bersifat perkauman dan kegamaan yang keterlaluan sehingga menimbulkan kebencian antara satu sama lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan UMNO Online yang memetiknya sebagai berkata menyebarkan hujah berbau rasis ketika berkempen menerusi perjumpaan tertutup dengan pengundi kawasan Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini mengaitkan keadaan huru hara jika UMNO dan Pas menjadi kerajaan.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ucapan menerusi video yang dikesan oleh portal itu perlu disiasat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia telah melanggar Akta Pilihan Raya.

“Saya dengar (ucapan) sangat rasis dan bahaya pada negara kalau bentuk ini yang dibawa pemimpin Pakatan Harapan.

“Dari Akta Pilihan Raya ini salah dan patut disiasat atas ucapan. Kita minta SPR dan jawatabkuasa pemantau tengok perkara ini, ini serius tuduh dua parti konon nanti mereka (Pas dan UMNO), takutkan masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette