KUALA LUMPUR – Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengaku ada kebenaran dengan andaian bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya dikelirukan ahli perniagaan, Low Taek Jho dan konco-konconya.
Shahrol yang merupakan bekas Ketua Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga mendedahkan Jho Low yang kini dalam buruan pihak berkuasa berkomplot dengan dua pengarah PetroSaudi International (PSI) iaitu, Tarek Obaid dan Patrick Mahoney.
Pengakuan saksi kesembilan itu hanya dilakukan ketika peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membacakan kandungan e-mel antara Tarek dan Mahoney yang berkomplot dengan Jho Low untuk tidak memberitahu Najib tentang ‘kehilangan’ wang usahasama antara 1MDB dan PSI.
Shafee ketika membacakan salah satu perenggan dalam e-mel tersebut menyatakan jelas ada cubaan untuk memanipulasi Najib.
Shafee berkata; “Tentang dana AS$1 bilion itu, apa yang perlu saya ceritakan kepada PM adalah kita mempunyai prospek pelaburan yang sangat dan kita benar-benar memerlukan dana dengan cepat. Marilah kita terus salahkan Malaysia. Janji tidak tertunai serta penangguhan secara berterusan telah menjejaskan perniagaan kita.
Shahrol kemudian mengakui selepas kandungan e-mel dalam perenggan itu dibaca sememangnya terdapat kebenaran wujudnya satu konspirasi untuk menipu dan manipulasi Najib oleh Jho Low, Tarek dan Mahoney.
Shahrol: Berdasarkan kandungan e-mel yang kamu baca ini nampaknya seperti wujud konspirasi untuk menipu Perdana Menteri (Najib).
Shafee: Terima kasih, saya gembira untuk dengar jawapan ini daripada kamu.
Terdahulu ketika Shafee membacakan kandungan lain dalam e-mel itu, beliau bertanyakan kepada Shahrol siapakah ‘PM’ yang di sebut-sebut dalam perkara ini.
Shahrol bersetuju PM yang disebut oleh Tarek dan Mahoney adalah Najib.
Pada 2010, tiga ‘sekawan’ ini pernah cuba menyakinkan Najib untuk melabur AS$500 juta dengan mereka dengan mendakwa dakwaan pelaburan itu cukup menguntungkan.
Semalam, Shahrol mengaku pelaburan antara 1MDB dan PSI merupakan satu kegagalan yang sangat merugikan termasuk pelaburan berjumlah AS$1 bilion, yang mana PSI membuat pinjaman sebanyak AS$500 juta pada 2010 disusuli AS$330 juta pada 2011.
Shahrol juga memberitahu, beliau tidak selesa untuk memberikan sebarang kesimpulan berhubung pendedahan e-mel kerana tidak tahu tentang perkara tersebut.
Hakim, Collin Lawrence Sequerah juga bersetuju saksi bukanlah orang yang tepat untuk membincangkan kandungan e-mel itu.
Perbicaraan bersambung esok dengan Shafee terus menyambung soal balas dengan Shahrol. – MalaysiaGazette
Najib di tipu jo lok dan dalam masa yg sama najib itulah menteri kewangan dan perdana menteri.,mustahil nak jadi PM berkelulusan darjah 6 selayaknya kena tipu.