SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu dijangka dihadapkan ke jawatankuasa disiplin DAP, minggu depan.

Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek itu telah menjawab surat tunjuk sebab kepada parti namun beliau sedia dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan kontroversinya sebelum ini.

“Saya sudah jawab (tunjuk sebab), butir-butir jawapan saya tak perlulah (dedah).

“Saya akan dipanggil dan saya akan hadir secara surat (sahkan kehadiran), lepas itu mereka akan panggil, selepas itu saya akan hadir untuk pendengaran.

“Kalau tak silap (awal) minggu depan, mungkin Isnin, Selasa atau Rabu depan,” katanya ketika ditemui di lobi bangunan Annex hari ini.

Minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Ronnie yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kestabilan dan memecahbelahkan perpaduan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dalam satu kenyataan berkata, Ronnie akan dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin DAP kerana mengeluarkan kenyataan disifatkan sebagai ‘tindakan sabotaj yang serius’.

Pada 22 Oktober lalu, Ronnie mengeluarkan kenyataan yang antara lain menegaskan PH akan tetap berjaya walaupun bergerak tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerap membuat keputusan bercanggah dengan kepimpinan PH, selain menggunakan kuasa prerogatifnya untuk membawa PH menyimpang daripada nilai aspirasinya yang asal.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk membenci Mahathir sebaliknya sebagai saranan untuk memastikan peralihan kuasa Perdana Menteri berjalan lancar.

“Saya tak pernah mintak Dr. Mahathir diturunkan (letak jawatan) atau PPBM dikeluarkan daripada PH.Saya hanya kata baliklah ke pangkuan asal iaitu kesamarataan dan kepelbagaian.

“Maksudnya kita tiada agenda tersendiri, tiada agenda Melayu, India, Cina sahaja (berasingan),” katanya.

Ronnie turut mendesak agar PPBM kembali kepada agenda Malaysia dan kesamarataan semua kaum di negara ini.

“Saya tengok Tun kadang-kala dia punya keputusan ataupun hujah dia berpihak kepada satu bangsa saja. Itu saya rasa tak betullah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette