Lim Kit Siang

KUKUP – Persaingan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Tanjung Piai bukannya antara calon MCA dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi antara calon Muafakat Nasional dengan PH.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Datuk Seri Wee Jeck Seng merupakan calon parti gabungan parti UMNO, Pas, MCA dan MIC dan bukannya calon MCA.

Berikutan itu, beliau menganggap PRK kali ini sebagai cabaran yang sukar apabila berdepan Barisan Nasional (BN) dan adalah penting membawa mesej bahwa masa depan Malaysia bergantung kepada kerjasama semua agama dan kaum.

“Ini bukan peperangan antara agama dan bangsa tetapi melibatkan kerjasama semua bangsa dalam membentuk negara yang harmoni dan benar-benar berjaya.

“Sebenarnya calon MCA bukan mewakili MCA tetapi dia adalah calon Muafakat Nasional, maka pertembungan ini adalah antara PH dan Muafakat Nasional sebab itulah malam ini semua pemimpin tertinggi Pas dan UMNO MCA dan MIC turun di Tanjung Piai dan berceramah.

“Saya harap pada 16 November ini kita menerima berita baik untuk PH dan Karmaine dan pengundi menunjukkan bahawa mereka mahu PH meneruskan misi untuk membentuk negara berkelas dunia.

“Walaupun wujud pelbagai kekangan kita tidak akan berputus asa dalam memastikan negara dihormati dunia,” katanya semasa berceramah dalam Program Borak Kopitiam di Penerok malam ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Cheng Choon bersama kira-kira 150 komuniti Cina di sini.

Beliau turut meminta pengundi Tanjung Piai memikirkan secara bijak dan membuat keputusan terbaik memilih PH demi membentuk masa depan terjamin untuk semua kaum.

Beliau menegaskan, calon MCA, Datuk Seri Jeck Seng tidak boleh menjadi wakil rakyat yang telus dan berkredibiliti memandangkan dia gagal menunjukkan contoh kepimpinan sebagai seorang wakil rakyat ketika mewakili Tanjung Piai selama dua penggal antara 2008 hingga 2018.

“Dia pernah dua penggal menyandang kerusi Tanjung Piai di Parlimen tetapi tidak pernah sekali pun menunjukkan semak dan imbang di Parlimen, jadi bagaimana dia boleh menipu pengundi kononnya dia mahu jadi semak dan imbang jika dipilih nanti.

“Malah dalam skandal 1MDB dia tidak pernah sekalipun mempersoalkan mengenainya dalam Dewan Rakyat selama dua penggal menjadi wakil rakyat dan di sini semak imbang dia boleh dipersoalkan lagi,” ujarnya.

enurutnya, dua hari lepas semua Ahli Parlimen BN termasuk Pas di Parlimen menyatakan skandal 1MDB tidak pernah berlaku dan Datuk Seri Najib Razak belum terbukti bersalah kerana kes masih dalam perbicaraan.

“Kita kini berada dalam dunia berita palsu yang mana kawasan Melayu mendakwa Mahathir boneka KIt Siang manakala kawasan Cina mendakwa saya pula boneka Tun Mahathir tetapi sebenarnya kami berdua memainkan peranan demi masa depan negara.

“Jika begitu apakah skandal 1MDB juga berita palsu, jika ya kenapa kapal Equinimity perlu dijual, kenapa kita perlu mencari Jho Low dan kenapa kita perlu membayar faedah RM10 bilion, adakah BN boleh jawab,” soal beliau lagi.

Beliau secara sinis mempersenda kenyataan MCA bahawa parti itu boleh menang dengan majoriti 5,000 undi yang dianggap imaginasi tidak realistik.

“Jika Karmaine boleh menang, dia dan ADUN Pekan Nanas boleh bekerjasama dalam membangunkan kawasan ini yang merupakan kombinasi pemimpin terbaik,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast