KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini ‘diusik’ netizen mengenai surat saman daripada sebuah agensi pelancongan berhubung dakwaan gagal menjelaskan bil pelancongan sebanyak RM300,000 keatas dirinya.
Hari ini tular satu poster satu tabung derma kilat keatas Timbalan Presiden PKR itu yang dilancarkan bagi mengumpul dana pembayaran tuntutan berkenaan.
Poster itu yang tersebar dalam aplikasi WhatsApp turut disertakan dengan perincian perjalanan Mohamed Azmin dan keluarganya di Marrakech dan London.
“Pelancaran tabung derma kilat bagi membayar bil perjalanan YB Menteri, keluarga dan penginapan mewah,” tulis gambar tabung itu.
Ia turut diberi nama “Tabung Perlancongan AA (Azmin Ali) dan family,” menerusi Bank Kemakmuran Bersama.
Bagaimanapun, nombor akaun yang diberikan itu adalah nombor tol percuma daripada Telekom Malaysia dan tiada dalam perkhidmatan.
Terdahulu, Mohamed Azmin hari ini mengatakan pihaknya masih belum menerima sebarang surat saman daripada sebuah agensi pelancongan.
Bagaimanapun, beliau telah meminta para pegawainya membuat semakan terhadap kenyataan yang dibuat oleh agensi pelancongan berkenaan.
“Saya telah meminta pegawai-pegawai saya membuat semakan, kalau ada baki yang belum dibayar, saya akan bayar.
“Itu tanggung jawab saya untuk membayar hutang jadi biarlah semakan dibuat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019, hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette yang memetik Sarawak Report melaporkan, Timbalan Presiden PKR itu mungkin akan dihadapkan di mahkamah kerana gagal menjelaskan hutang sebanyak RM300,000 kepada sebuah agensi pelancongan.
Sarawak Report memetik dokumen difailkan YHA Travel & Tours dan jumlah itu termasuk tambang penerbangan Ahli Parlimen Gombak itu dalam tempoh enam bulan.
Difahamkan, pengurusan kes bagi saman itu ditetapkan pada 3 Disember ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
MalaysiaGazette kini sedang mendapatkan respon pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mahupun pegawainya. -MalaysiaGazette