Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar melancarkan menandatangani gimik pelancaran pada Majlis Sambutan Jubli Emas Agrobank di Hotel Grand Hayatt, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 07 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap agar Agrobank lebih berdaya saing bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menurut beliau, langkah itu perlu bagi memastikan bank berasaskan kepada agro dan pertanian itu kekal relevan kepada negara yang menghadapi perubahan drastik ekoran revolusi itu.

“Jenama besar tidak mungkin akan lebih relevan sekiranya tidak mampu meningkatkan diri kita untuk menambah nilai tentang apa yang menjadikan kita pada hari ini.

“Agrobank saya harapkan lebih maju kehadapan dan berinovasi, dengan kreativiti yang mampu bersaing dalam IR4.0 untuk menjadi sebuah bank untuk rakyat yang tidak lupa pada falsafah asal untuk menolong petani di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Visi dan Misi Baharu sempena Sambutan Jubli Emas Agrobank malam ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) tercetus pada pertengahan 2016 dengan membabitkan teknologi automasi yang merupakan satu cabaran baharu.

Ia merupakan satu revolusi yang akan meresap ke dalam semua sektor perkhidmatan dan perindustrian negara termasuklah Malaysia.

IR4.0 menuntut perubahan semua pihak seiring transformasi digital itu, supaya dapat terus kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden, memandangkan ia bakal memberi kesan langsung kepada masa depan dunia pekerjaan.

Jelasnya Salahuddin lagi, kegagalan berapa syarikat gergasi dunia umpamanya Kodak dan Nokia yang enggan mengambil revolusi dunia sebagai faktor untuk berubah menyebabkan kedua-dua syarikat itu kini ditelan zaman.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata Agrobank tidak seharusnya melupakan asas penubuhannya yakin membantu golongan petani dan masyarakat desa.

“Saya ingat lagi kata-kata Tun Razak bahawa bank ini supaya jangan lupa asal usul kita, jangan lupa dari mana bank ini berdiri dan orang kampung kata bank ini untuk orang kampung.

“Hari ini bank ini berdiri bukan sekadar untuk membantu orang kampung termampu dan menjadikan semua pemain dalam industri pertanian mampu menerjah bersama pesaing pada masa akan datang.

Agrobank menyambut ulangtahun ke 50 pada Ogos lalu.

Untuk rekod, bank yang mulanya menggunakan nama Bank Pertanian Malaysia mula ditubuhkan pada Ogos 1969 yang dilihat memberi impak besar kepada sektor perniagaan negara sehigga kini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast