KUKUP – Pemberian wang saguhati RM1,000 kepada nelayan di Johor Selatan yang diumumkan semalam adalah satu inisiatif tahunan yang pernah dilaksanakan beberapa tahun sebelum ini.
Maka tidak perlu pengumuman wang itu dijadikan isu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Wang itu, katanya, adalah daripada kerajaan negeri dan ia akan dilaksanakan minggu depan seperti yang diumumkan.
“Yang berikan adalah kerajaan, saya kerajaan. Kalau tidak menyalahi undang-undang saya akan bagi minggu depan kepada nelayan dan saya rasa saya pun tidak ada masalah dalam isu ini.
‘
“Ini lagi pun bukan diberikan daripada hasil bajet negeri sebaliknya elaun yang sebelum ini pernah diberikan kerajaan negeri kepada nelayan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan feri di terminal Feri Antarabangsa Kukup hari ini.
Ditanya sama ada ia tidak menyalahi kempen PRK, beliau menegaskan, pada pandangannya ia tidak menjadi isu berbangkit.
“Kita akan memberikan RM1,000 cuma kepada tiga fasa bermula minggu depan hanya melibatkan nelayan Johor Selatan.
“Lagi pun ia baru diluluskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam dan diumumkan,” tegasnya yang juga mengiakan apabila ditanya bantuan itu datang daripada Dana yayasan Nelayan Johor.-MalaysiaGazette