TANJUNG PIAI – PKR Johor menafikan kekurangan kelibat pemimpin tertinggi parti dalam kempen di Tanjung Piai adalah kerana berlaku boikot ke atas Bersatu.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menjelaskan, pemimpin tertinggi tidak dapat berkempen kerana berlangsungnya mesyuarat Dewan Rakyat, bukan kerana sabotaj.
Katanya lagi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah berkunjung ke Tanjung Piai pada hari penamaan calon.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga akan berkempen di Tanjung Piai selepas ini, jadi dakwaan berlaku boikot adalah tidak betul,” katanya kepada Oriental Daily.
Menurut akhbar itu, pemimpin tertinggi PH yang sudah berkempen di Tanjung Piai termasuk Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong.
DAP dijangka menghantar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching untuk berkempen selepas ini.
Pemimpin PKR yang akan turun ke Tanjung Piai ialah Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Exco Johor, Jimmy Puah. – MalaysiaGazette