Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (tengah) memegang plakad Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIP2).

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bakal mencatatkan perolehan sehingga RM5.312 bilion menerusi Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIP2) anjurannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 12 hingga 13 November ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, ia mampu dicatat dengan penyertaan sebanyak 1,288 vendor dan 21 syarikat induk dalam program yang menyediakan platform untuk mengembangkan perniagaan, merangkumi pelbagai peringkat rantaian bekalan tempatan.

“Penganjuran VIP2 ini seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

“Melalui program ini ia boleh mengukuhkan jalinan kerjasama dan penyertaan usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Bumiputera terutamanya syarikat vendor,” katanya pada sidang media di Kelab Tasik Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Strategi dan Penjanaan Nilai Celcom Axiata Berhad, Muniff Kamaruddin dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pembangunan Masyarakat Celcom Axiata Berhad, Zuraida Jamaludin.

Menurut Wan Suraya, program ini akan diadakan secara tahunan bagi mempamerkan pencapaian dan kejayaan PKS Bumiputera sepanjang pelaksanaan di bawah Program Pembangunan Vendor.

“Kita juga sebenarnya mengambil peluang ini untuk melihat bagaimana kita boleh mengubah suai atau mempertingkatkan sistem program pembangunan vendor sedia ada supaya dapat mewujudkan satu ekosistem keusahawanan lebih mantap.

“Ia sejajar dengan matlamat atau aspirasi Dasar Keusahawanan Negara serta konsep Kemakmuran Bersama yang telah dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

Katanya, Celcom antara syarikat induk yang menjadi penyumbang terbesar dalam penganjuran program ini sejak 2016 dan sehingga kini mempunyai sebanyak 50 syarikat vendor dalam penyertaan VIP2.

Dengan tema Memacu Pertumbuhan Melalui Inovasi dan Teknologi, program ini menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung dalam kalangan vendor tempatan dan pemain industri utama.

Pelbagai program telah disusun sepanjang penganjuran VIP2, antara lain perkongsian amalan terbaik dalam bidang perniagaan dan bicara keusahawanan, Klinik Kewangan, Bicara Latihan Keusahawanan, lebih 500 Sesi Padanan Perniagaan, penglibatan 21 penceramah serta 16 Mega Reruai syarikat induk.

Selain itu, sebanyak 14 Jaguh Nasional dan Serantau terdiri daripada syarikat-syarikat vendor yang telah berjaya mengembangkan perniagaan hingga ke peringkat global bagi 2018 akan diraikan pada Malam Aspirasi VIP2 yang bakal dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Sementara itu, Wan Suraya turut mengumumkan bahawa MED juga akan menganjurkan Karnival Usahawan Koperasi 2019 pada 8 hingga 10 November ini bertempat di Persiaran Perdana Putrajaya.

“Kita jangka seramai 20,000 peserta larian 9to5 Run, iaitu 21km, 10km dan 5km.

“Acara ini bagi meraikan Hari Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dan baginda sendiri akan mencemar duli untuk turun padang bersama permaisuri agong serta kesemua penunjung pada 10 November,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast