Nik Abduh Nik Aziz

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadangkan supaya menyediakan laporan lengkap berkenaan pematuhan parti politik dalam siri pilihan raya yang berlaku.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, cadangan itu yang dikemukakannya pada sesi perbahasan peringkatan Jawatankuasa Belanjawan 2020 di Parlimen semalam, didorong oleh tindakan beberapa parti politik yang jelas melanggar batasan kempen seperti terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Katanya, belum pun reda isu penggunaan jentera kerajaan seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan pelbagai janji telah ditabur oleh pemimpin parti kerajaan dalam PRK Tanjung Piai.

“Lebih malang lagi, kenyataan sesetengah pimpinan kerajaan yang berunsur hasutan, perkauman dan boleh menggugat keamanan serta kestabilan sosial dalam negara hari ini.

“Apakah tiada kawalan dalam kempen PRK pada hari ini?,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Justeru, beliau berharap SPR meneliti gesaannya supaya menyediakan laporan lengkap tersebut setiap kali selepas pilihanraya, malah, perlu dibentangkan di Parlimen.

Ini, katanya, bagi memastikan setiap parti politik mematuhi segala peraturan ditetapkan, menggalakkan aktiviti kempen berlaku secara sihat, selain memastikan semak dan imbang yang berkesan terhadap peranan dimainkan SPR itu sendiri. – MalaysiaGazette