TUMPAT – Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat dalam kejadian serangan di Wilayah Yala, Selatan Thailand yang mengorbankan 15 nyawa kelmarin, bolos ke negara ini.

Susulan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, polis akan meningkatkan kawalan di sempadan negara Malaysia-Thailand termasuk meminta agar semua Ketua Polis Daerah yang bersempadan supaya mengambil langkah proaktif.

Jelasnya, meskipun kejadian berkenaan tidak melibatkan rakyat negara ini namun polis memandang serius perkara itu.

“Kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat kawalan di sempadan negara serta mempertingkatkan kawalan sempadan. Dalam isu ini, polis Kelantan juga perlu merujuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut termasuk kerjasama berkaitan insiden itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata polis turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak berkunjung ke Thailand buat masa ini atas faktor keselamatan.

Dalam kejadian di Wilayah Yala semalam, 15 anggota sukarelawan maut, termasuk dua wanita dan empat lagi cedera selepas puak pemisah disyaki menyerang pos kawalan keselamatan di selatan Thailand.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast