Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau bersama calon Wendy Subramaniam dalam sidang media PRK Tanjung Piai di Pontian pada 8 November 2019.

PONTIAN – Parti Gerakan menyifatkan kehadiran parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung PiaiĀ  bukan sebagai pengganggu atau pencetus masalah.

Sebaliknya, mereka merupakan kuasa ketiga yang tampil ke sebagai pilihan pengundi Tanjung Piai untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, pada masa ini masih ramai rakyat mahupun penduduk di Tanjung Piai tidak menyokong kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang Barisan Nasional (BN).

Justeru, katanya kebanyakan pengundi juga memberi bayangan untuk tidak keluar mengundi pada 16 November ini.

“Oleh itu, tiba masa untuk Gerakan menjadi suara kuasa ketiga negara ini dan memberi pilihan kepada masyarakat di Tanjung Piai membuat pilihan bijak dalam menentukan wakil pemimpin mereka di Parlimen ini demi masa depan yang terjamin.

“Buat apa kami nak mengganggu, semua ingat kami tiada kerja lain ke?

“Kami bukan datang mengganggu di sini sebaliknya kami ada calon terbaik dan tampil dengan referendum sebagai kuasa ketiga untuk dipilih pengundi dan masyarakat di sini,” katanya dalam sidang media di Bilik Operasi Utama Gerakan di daerah Pontian hari ini.

Beliau turut ditanya mengenai desas-desus serta kritikan pelbagai pihak setempat yang mempersoalkan keupayaan Gerakan dalam meyakinkan pengundi seterusnya menjadi wakil yang relevan.

Sebagai menjawab pertanyaan itu, beliau akur bahawa mereka tidak kukuh daripada segi kewangan dan tenaga kerja.

“Ya, memang daripada segi sumber kewangan dan sumber manusia sukar nak tanding PH dan BN termasuk lambakan poster, banting, sepanduk dan billboard calon yang hiasi setiap kawasan di Tanjung Piai.

“Jika kebanyakan orang kata ini satu pertandingan atau pertembungan antara PH dan BN sahaja, saya setuju sangat.

“Tetapi Gerakan tidak takut dengan lawan kami, kami akan bertanding secara strategi kerana kami parti politik yang wajib menyertai ‘peperangan’ ini sebagai kuasa ketiga yang masih relevan dalam arena politik tanahair.

“Walaupun kami kekurangan kewangan dan jentera strategi yang bagus dan betul dengan masa yang menyebelahi kita, kami boleh menang dan lebih 1,000 ahli Gerakan kami dari seluruh negara akan turun menggerakkan kempen kami dengan lebih efisien pada kempen yang berbaki tujuh hari lagi,” katanya

Ditanya sejauh manakah sokongan dan penerimaan pengundi dan masyarakat setempat pada setiap pertemuan calon Gerakan selama tujuh hari ini, Dominic berkata, penerimaan pengundi terhadap calon wanita mereka, Wendy Subramaniam sangat baik.

“Saya gembira kerana setakat ini mereka melayan kami dengan baik dan tidak dihalau. Ini satu perkembangan positif untuk kami lebih bersemangat menghadapi lima calon lain termasuk BN dan PH.

“Namun saya tidak mahu membuat analisa peratus pengundi yang disantuni setakat ini memihak mereka kerana if we analysed can become paralysed (jika analisa, akan menjadi lumpuh), kami nak full force sokongan pengundi untuk menang sahaja,” tegasnya.

Gerakan juga telah melancarkan tabung raih sumbangan dana dari masyarakat Tanjung Piai kerana memerlukan sokongan kewangan dari masyarakat setempat untuk meneruskan kempen dan tenaga kerja.

“Oleh itu hadapi juga masalah sumber kewangan kempen selepas keluar Barisan Nasional dan menjadi parti bebas dan profesional sebagai api kuasa ketiga yang membara di Tanjung Piai.

“Maka kami perlukan sokongan dana daripada masyarakat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau syarikat yang setuju dengan ideologi kita kuasa ketiga boleh mula hulur sumbangan kepada Gerakan.

“Semalam kita dah mula edarkan tin biskut dengan gambar calon mula memohon sumbangan daripada penduduk pengundi Tanjung Piai dan berjaya memperolehi RM723.20 dan ada yang datang ke Bilik Operasi kami dan menyumbangkan wang dan kami terharu,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast