KUKUP – Keputusan kerajaan membuka semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup semalam disifatkan sebagai satu tindakan flip-flop kerana dibuat secara tergesa-gesa.
Pengarah Kempen Pilihan Raya Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Shamsubahrin Ismail bimbang keputusan membuka semula terminal feri itu tidak akan kekal lama berikutan beberapa kesulitan yang berlaku sebelum ini.
Ini kerana katanya, Menteri Besar Johor, Dr. Sahruddin Jamal sendiri telah membuat kenyataan beberapa hari lalu apabila memberikan alasan bahawa faktor hutang yang banyak menghalang ia daripada dibuka sebelum ini.
“Masa kempen pilihan raya dua tiga hari lepas kata tak boleh nak buka. Tiba-tiba semalam, kata boleh pula. Bagi saya politik seperti ini tak patut diketengahkan sewaktu kita sedang kempen sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya selepas gagal menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan hadir menyokong calon bebas yang mewakili GTSM, Faridah Aryani Abdul Gaffar di Kampung Serkat Timur hari ini.
Shamsubahrin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan negeri yang mengumumkan pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup setelah ditutup sejak 1 September lalu.
Penutupan terminal berkenaan telah menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi yang menjadikan ia sebagai nadi untuk mendapatkan penumpang dalam kalangan pelancong dari Tanjung balai.
Dianggarkan lebih kurang 13,000 penumpang sebulan menggunakan Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk ke Tanjung Balai.
Shamsubahrin berkata, masalah hutang yang berlaku dan dikaitkan dengan operator termkinal berkenaan sepatuntya telah diselesaikan walaupun selepas kerajaan diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH).
Katanya, hutang itu telah ada sejak di zaman Barisan Nasional (BN) dan selepas diambilalih oleh PH mereka juga tidak berbuat apa-apa.
Beliau bimbang terminal itu akan ditutup semula jika PH tewas pada PRK berkenaan dan menjadikan faktor hutang sebagai alasan penutupan tersebut.
“Ini adalah politik menipu rakyat. Kalau betul-betul nak buka, bukalah terus seperti dirancang awal-awal dulu, sebab ia boleh tingkatkan ekonomi pemandu teksi di situ.
“Saya tahu, saya dah campur mereka dalam PH ini dah lama. Saya harap pengundi Tanjung Piai ini tolak tepi perkara-perkara macam ini,” ujarnya.
Terdahulu, operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dihentikan sementara pada 1 September lepas dan dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri.
Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.
Bagaimanapun, pada 1 November lalu, terminal berkenaan dijadualkan dibuka pada Rabu, namun, terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dibuka semalam. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Syabas MB jangan peduli apa orang yang bertoping kan syaitan dan dajal serta parti pembangkang serta bebas kata, terus kan ajenda untuk memperkasa ekonomi rakyat, kuasa di tangan PH sekarang muafakat lah melaksanakan gerak kerja demi kesejahteraan ugama, bangsa dan ekonomi rakyat khasnya.