Seorang lelaki mengayuh basikal melintasi bendera parti-parti politik yang bertanding ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette sempena kempen Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai sekitar kawasan Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 07 NOVEMBER 2019

TANJUNG PIAI – Dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang memasuki fasa “super weekend”, parti-parti politik bakal mengambil kesempatan hujung minggu terakhir sebelum tarikh pilihan raya untuk mengadakan kempen, khususnya ceramah politik besar-besaran.

Sinchew Daily melaporkan, hala tuju pengundi Cina mencuri tumpuan kerana undi kaum itu dijangka berpecah pada kali ini dengan tidak kurang pengundi yang masih berada di atas pagar untuk pandang dan lihat pada masa ini.

Pengundi atas pagar ini juga menjadi sasaran utama dalam kempen “Super Weekend” yang akan mengambil tempat pada Sabtu dan Ahad.

Menurut akhbar itu, walaupun calon Gerakan, Wendy Subramaniam mempunyai populariti di alam maya dan imej parti itu sebagai kuasa ketiga juga akan melarikan sedikit undi Cina, tetapi Gerakan belum menjadi satu ancaman besar.

“Sejauh mana sokongan di Internet akan bertukar menjadi undi sebenar juga bakal menentukan sama ada calon Gerakan dapat mengekalkan deposit atau sebaliknya,” kata analisis yang ternyata tidak optimis dengan kemenangan Wendy.

Yang kelihatan, pengundi Cina kini lebih bersikap berdiam diri dan tidak lagi meluahkan sokongan terbuka kepada Pakatan Harapan (PH), seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Bertambah menariknya, sudah ada golongan yang lebih berumur menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jack Seng.

Keadaan itu mencerminkan penghargaan pengundi terhadap Jack Seng yang pernah berkhidmat kepada penduduk Tanjung Piai.

Selain itu, pengundi juga dilihat mahu memberi pengajaran kepada PH yang mereka undi dalam pilihan raya sebelum ini.

Pada masa yang sama, penyokong PH daripada keturunan Cina secara keseluruhannya lebih diam pada kali ini sehingga timbul kebimbangan apabila ceramah politik PH kurang mendapat sambutan berbanding sebelum ini.

Menurut analisis Sinchew Daily, PRK Tanjung Piai merupakan medan penting untuk MCA dan DAP.

Kejayaan MCA di Tanjung Piai menandakan parti yang tewas dengan teruk dalam Pilihan Raya Umum 2018 itu boleh bangkit semula dalam BN.

Sementara itu, sokongan pengundi Cina kepada PH dalam pertempuran di Tanjung Piai pula akan membolehkan DAP mengekalkan pengaruh dalam PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast