Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan sebahagian penduduk yang hadir pada Majlis Maulidur Rasul sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Lima hari terakhir kempen menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 Nov ini dijangka menyaksikan perubahan besar dari segi sikap pengundi di kawasan parlimen itu sekali gus menjadi penentu kejayaan kepada parti yang bertanding.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata meskipun ada cakap-cakap menyatakan Barisan Nasional (BN) boleh memenangi kerusi parlimen itu, ia tidak boleh dinilai melalui kehadiran kepada ceramah semata-mata.

Sebaliknya, PH ada cara tersendiri untuk menilai sokongan rakyat kepada pakatan berkenaan, kata beliau.

“Semua rakan dalam PH yang bekerja, mereka tahu…situasi agak dinamik. Dalam mana-mana pilihan raya, makin hampir dengan tarikh nak mengundi, situasi bertambah lebih dinamik.

“Hari ni begini, pagi lain, petang lain, malam lain. Lima hari yang terakhir ni akan beri satu impak besar dari segi perubahan sikap pengundi terhadap parti yang bertanding,” kata Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perjalanan kempen BN yang didakwa lebih positif.

Justeru itu, beliau berharap dengan penglibatan pimpinan tertinggi PH termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bakal turun padang, akan dapat memberi ruang dan peluang untuk semua pemimpin menjelaskan secara terperinci mengenai hal berkaitan kerajaan PH termasuk di peringkat negeri.

“Jadi ini boleh meyakinkan pengundi tentang apa yang kita akan lakukan untuk tempoh yang akan datang,” kata Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri.

PRK Tanjung Piai menyaksikan calon PH, Karmaine Sardini menerima tentangan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ketika ditanya mengenai dakwaan masih ada jarak antara pegawai kerajaan dan kerajaan PH, Muhyiddin mengakui perkara itu masih wujud memandangkan kerajaan PH baru memerintah selama setahun setengah dan memerlukan masa.

“Kita mengambil alih sebuah kerajaan yang mana telah terbentuk terbentuk di bawah BN selama 61 tahun. Dalam sistem kerajaan, ada pegawai kerajaan dalam jabatan awam dan mereka ini agak sudah biasa dengan dasar yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Jadi sebab itu, inilah perkara yang sedang kita uruskan supaya mereka faham dasar kerajaan PH. (Bagaimanapun) Mereka harus komited, kerana yang diamalkan dalam sistem demokrasi ini, pegawai kerajaan mesti taat pada kerajaan semasa.

“Tugas pegawai kerajaan adalah menguruskan pentadbiran kerajaan. Adalah tidak adil, kalau mereka telah diberi tanggungjawab itu tetapi tidak menyempurnakan,” tambah beliau.

Justeru itu, Muhyiddin berharap agar ia dapat diselesaikan segera, sekali gus membantu kepada proses pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.

“Yang penting bagaimana anggota pentadbiran atau pegawai kerajaan segera mewujudkan jalinan kerjasama. Saya fikir pimpinan kerajaan PH biasa bersikap terbuka,” kata beliau.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.