Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara terang-terangan mengakui wujudnya sedikit rasa tidak ‘gembira’ dalam kalangan ahli parti itu untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Guan Eng yang tidak menyembunyikan isu yang sudah mula dihidu pihak media  baru-baru ini bagaimanapun yakin perkara tersebut dapat ditangani secara dalaman dengan baik.

Jelas Guan Eng, perkara yang perlu diberikan fokus adalah kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) dan tidak sesekali menggunakan peluang ini untuk memberikan kemenangan mudah kepada pembangkang.

“Benar saya akui dengan cerita ada ahli DAP tidak begitu gembira bekerjasama untuk berkempen bagi calon Bersatu di Tanjung Piai.

“Tetapi pada masa yang sama, kita akan tetap bekerjasama dan memastikan kemenangan ini berpihak kepada kita dan bukannya pembangkang.

“Perlu diingat, apa-apa bentuk kekalahan kepada PH itu adalah sama maknanya kekalahan parti individu seperti kita yang berada dalam komponen ini. Jadi bagaimana kita hendak biarkan pembangkang menang? Ini sama seperti kamu beri peluang kepada kerajaan pintu belakang berkuasa kelak.

“Memang kita tidak nafikan wujudnya rasa tidak senang tetapi pada masa sama juga bagaimana para pimpinan menangani isu yang kita hadapi ini dengan bijak dan waras. Pada saya itu lebih penting,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen DAP Negeri Selangor 2019.

Dalam pada itu, ketika disoal tentang krisis DAP dengan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang viral sejak beberapa hari lalu, Guan Eng berharap perkara tersebut ditangani tanpa sebarang pilih kasih.

Ahmad Faizal mendakwa usahanya melindungi kepentingan Melayu terpaksa melawan ‘puak puak DAP’.

Ahmad Faizal dalam rakaman video yang tular media sosial baru-baru ini dilihat berbual dengan sekumpulan orang dipercayai pengundi di Tanjung Piai.

Beliau dirakam menyebut mengenai bagaimana beliau berhadapan dengan Ahli Dewan Undangan (ADUN) dari DAP mengenai beberapa isu, termasuk isu tanah Melayu.

Namun selepas sehari video itu tular dan mendapat kecaman dalam PH sendiri, Ahmad Faizal mendakwa komennya telah diambil di luar konteks perbincangan. –MalaysiaGazette