Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng beramah mesra ketika hadir pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2019 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sambil melahirkan rasa hairan bagaimana MCA sewenang-wenangnya boleh menerima pihak-pihak yang mempersoalkan kaum-kaum lain, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menyelar pimpinan parti itu.

Soal Guan Eng, beliau pelik bagaimana MCA boleh menerima dengan hati terbuka pemimpin pembangkang yang selama ini banyak mempersoalkan hak serta kepentingan kaum Cina dan India.

“Saya pelik bagaimana MCA terima UMNO dan Pas ini? Mereka juga antara yang paling lantang mengkritik dan tidak mahu Menteri dalam kalangan Cina dan India. Paling banyak buat bising.

“Mereka-mereka ini juga yang mahu sekolah Tamil dan Cina di tutup. Juga mahu memboikot produk bukan Muslim. Mereka yang MCA sokong ini yang kuat menentang. Saya pelik betul bagaimana kini MCA boleh terima sahaja. Pelik saya.

“Orang bukan Islam tidak boleh jadi Menteri, sekolah Tamil Cina perlu di tutup, boikot produk bukan Islam dan sebagainya. Bila saya dedahkan kenyataan ektremis seperti ini, mereka hendak haramkan DAP pula.

“Bagaimanalah MCA boleh lakukan kerjasama ini, saya sendiri tidak faham” soalnya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor 2019 sebentar tadi.

Malah kata Guan Eng, MCA sendiri banyak memainkan sentimen perkauman kononnya kerajaan tidak berjaya memenuhi hasrat dan janji kepada rakyat walaupun beliau bertegas sebaliknya.

“Lihat apa yang terjadi dengan Kojadi. Anda tidak akan tahu apa yang berlaku pada masa hadapan. Ianya dimiliki serta dikuasai oleh MCA. Kojadi juga telah menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Presidennya enggan memulangkan wang tersebut. Malah Pengerusi Kojadi yang mahu buat perkara yang betul MCA telah dipecat. Sebenarnya, pimpinan dalam MCA sahaja tidak berguna.

“Ahli-ahli MCA ini baik-baik sahaja malah rata-rata mereka telah mengundi kita pada Pilihan Raya Umum (PRU-14),” tegasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng juga enggan ‘bercakap banyak’ ketika disoal bagaimanakah kempen-kempen MCA lebih banyak mendapat tempat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai berbanding PH seperti DAP sendiri.

“Itu terpulang mengikut persepsi anda. Jika media mahu tunjukan MCA lebih banyak orang dan kita kurang, itu terpulang. Paling penting pada hari mengundi nanti.

“Seperti yang cakap tadi, MCA hanya bercakap tentang satu kaum walhal kami dalam PH perjuangkan semua untuk semua tanpa kira agama dan latarbelakang jadi terpulanglah,” ujarnya. –MalaysiaGazette