KUALA LUMPUR – Langkah Pemuda MIC mengkritik tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin merasmikan syarikat pajak gadai berkonsepkan pandu lalu (Drive Through), dibidas Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad.
Menurut beliau, usaha golongan itu mengkritik Zuraida memberi signifikasi bahawa mereka jelas menyokong rakyat untuk terus mendapatkan khidmat ceti haram dan Ah Long.
“Rakyat mempunyai kesedaran untuk menggunakan saluran betul, selamat dan terjamin dalam membuat gadaian berbanding menggunakan ceti haram atau ‘ah long’.
“Saya sendiri tertanya-tanya, apakah dengan tindakan mengkritik usaha YB Zuraida Kamaruddin ini, memberi signifikasi bahawa Pemuda MIC menyokong rakyat mendapatkan khidmat gadaian dari ceti haram atau meminjam wang daripada Ah-Long,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, memetik laporan Malaysiakini, Exco Pemuda MIC, Arvind Krishnan melahirkan rasa hairan terhadap sokongan diberikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin terhadap sebuah syarikat pajak gadai berkonsepkan pandu lalu (Drive Through).
Katanya, syarikat itu dikatakan menjadi perintis konsep “drive thru” dalam industri pajak kedai tempatan dan menerima sokongan penuh menteri berkenaan.
Justeru itu, kata Nor Hizwan, kenyataan Arvind itu merupakan kenyataan kuno dan sudah ketinggalan zaman, serta tidak wujud isu menyokong industri yang menindas rakyat.
“Untuk pengetahuan Pemuda MIC, khususnya Arvind Krishnan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK), KPKT ada membangunkan aplikasi i-Gadaian dengan tujuan bagi memudahkan orang ramai membuat carian premis pemegang pajak gadai berlesen di bawah kementerian, selain sebagai platform membuat aduan secara dalam talian.
“Aplikasi yang dibangunkan BKKK KPKT turut memuatkan pelbagai informasi bermanfaat terutama kepada mereka yang berminat menjalankan transaksi pemajakgadaian berdasarkan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81] yang memberi perlindungan kepada hak seorang pemajak,” katanya lagi.
Berdasarkan statistik rasmi dari portal Data.Gov.My, terdapat barangan bernilai kira-kira RM1,261,891.70 yang dibiarkan di bawah penguasaan broker pajak gadai tanpa tuntutan bermula dari tahun 2013 hingga 2017. -MalaysiaGazette