Setiausaha Agung Islamic Financial Services Board, Dr. Bello Lawal Danbatta di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) mensasarkan badan itu akan menjadi sumber rujukan bagi industri kewangan dunia – kewangan Islam dan konvensional dalam tempoh lima tahun lagi.

Setiausaha Agung, Dr. Bello Lawal Danbatta berkata, pada masa ini pihaknya sedang berusaha menangani jurang perbezaan dalam aspek terbitan perundangan dan panduan bagi industri kewangan Islam dan konvensional.

Selaras dengan harapan itu, beliau berkata, IFSB sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak konvensional.

Menurut Bello, pada tahun lalu pihaknya telah mendapat pengesahan daripada Lembaga Eksekutif Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia untuk menggunakan peraturan IFSB dalam program penilaian sektor kewangan kedua-duanya.

“Kami mahu lebih banyak pihak lembaga kemampanan kewangan dunia menggunakan standard dan peraturan serta kod IFSB pada masa depan.

“Ini kerana kami memiliki standard kewangan Islam yang berkualiti, berhemah, telus dan standardnya setaraf global bagi faedah kemampanan perkhidmatan kewangan Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette

Jika standard-standard dan piawaian prinsipal yang dikeluarkan oleh IFSB diguna pakai dalam semua sektor kewangan di dunia, bermakna kewangan Islam akan menjadi lebih mampan.

Ia juga akan menyaksikan IFSB sebagai pemimpin dan peneraju dalam industri ini.

Tambahnya, IFSB kini bekerjasama dengan Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) yang menerbitkan standard tadbir urus Syariah.

Melalui kerjasama ini, IFSB dan AAOIFI dapat mengelakkan pertindihan tugas, dengan ini membolehkan kedua-duanya menjadi relevan dalam industri dan melaksanakan penyampaian seperti yang diharapkan.

“Saya menjangkakan IFSB akan menjadi lebih proaktif dan strategik dalam meletakkan kedudukannya dalam industri. Sehubungan itu, kami yakin IFSB akan menerima lebih ramai penyertaan keanggotaan.

“Dengan ini, pengenalan standard-standard yang dikeluarkan IFSB dapat dilaksanakan di mana-mana, membolehkan kadar pelaksanaannya bertambah dari tahun ke tahun,” ujar beliau.

Beliau mengingatkan, kewangan Islam adalah bersifat universal dan ia bukan sahaja untuk keperluan Muslim tetapi untuk sejagat berbanding kewangan konvensional bukan untuk Muslim.

Ini kerana, dalam Islam, golongan Muslim tertakluk kepada peraturan yang menghalang mereka daripada melakukan riba dan lain-lain perkara yang tidak dibenarkan.

Selain itu, tegas Bello, keindahan dan kelebihan kewangan Islam  berdasarkan sektor ekonomi sebenar. – MalaysiaGazette