KUALA LUMPUR – Arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan syarat kepada calon atau parti yang berkempen dari rumah ke rumah perlu mempunyai permit ketika pilihan raya mengundang rasa tidak senang dan hairan dalam kalangan segelintir pihak.
Terbaru, Pergerakan Wanita UMNO melalui Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad melahirkan rasa dukacita selain menganggapnya keterlaluan seolah-olah ada cubaan untuk menyekat kebebasan berkempen ketika musim Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai ketika.
Soal Noraini, apakah keperluan serta relevan tindakan ‘drastik’ oleh SPR secara tiba-tiba mengeluarkan arahan sedemikian untuk mendapatkan permit Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Perlu ingat ya, ini adalah pilihan raya dan tidak sepatutnya SPR keluarkan seperti ini seakan-akan mahu menyekat kebebasan berkempen.
“Tindak tanduk ini sungguh mendukacitakan malah bukan hal seperti ini yang ‘remeh’ perlu diketengahkan oleh SPR pada masa ini, sebaliknya isu pelanggaran akta pilihan raya yang lebih serius seperti pemberian wang.
“Itu yang sepatutnya menjadi fokus anda, terang lagi bersuluh isu memberi wang ini tetapi lain yang menjadi keutamaan. Memang pelik,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Beliau mengulas arahan oleh Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun semalam menegaskan parti dan calon yang hendak berkempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit polis.
Peraturan ini kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen PRK Parlimen Tanjung Piai berbaki dua hari lagi.
SPR sebelum ini tidak pernah meletakkan syarat atau mengeluarkan arahan kepada mana-mana parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya perlu mendapatkan permit jika mahu berkempen dari rumah ke rumah.
Noraini menyoal lagi adakah momentum PRK Tanjung Piai yang lebih cenderung kepada kemenangan calon Barisan Nasional (BN) sehingga ‘memaksa’ SPR bertindak seperti ini.
“Adakah SPR terpaksa dan dipaksa untuk melakukan sesuatu bagi mengekang situasi ini? Kami dari Wanita UMNO ingin beri sedikit nasihat, tolonglah bersikap lebih telus dan belajar apakah itu maksud ‘berkecuali’,” tegasnya.
Selain daripada Noraini, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berpendapat keputusan terbaru SPR itu dilihat sebagai bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk calon bertemu pengundi bagi tujuan berkempen.
Wan Ahmad ketika bercakap dengan Berita Harian hari ini dilaporkan berkata, tindakan SPR ini dilihat menyusahkan calon, ejen kempen dan parti untuk bertemu dengan pengundi secara bersemuka.
Jelas beliau, dalam tempoh rasmi berkempen, SPR sepatutnya perlu memudahkan parti yang bertanding dan calon untuk berkempen serta bertemu pengundi.
“Meletakkan syarat mendapat permit polis untuk mereka berkempen bertemu pengundi di rumah adalah keterlaluan dan tidak sesuai dalam pelaksanaan proses demokrasi yang bebas serta adil.
“Ia (kempen rumah ke rumah) sudah lama menjadi budaya dalam proses politik negara sejak merdeka.
“Apatah lagi ia membabitkan pelbagai parti, calon dan kepentingan rakyat selaku pengundi yang akan menentukan wakil untuk dipilih mewakili mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Mengapa sekarang perlu disusahkan (kempen) selagi mereka tidak melanggar kesalahan di bawah undang-undang atau peraturan yang ditetapkan,” ujarnya. –MalaysiaGazette