Teo Nie Ching

PETALING JAYA –  Tindakan Naib Presiden Parti Bumiputera Pesaka Malaysia (Putra), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mahu mencabar kewujudan sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi hanya membuang masa dan membazir sumber, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, isu sekolah vernakular tidak wujud kerana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Menteri Pendidikan berkuasa untuk membina sekolah Cina dan Tamil.

“Saya kecewa kerana dia sekali lagi  melakukan tindakan provokasi.

“Semasa pendengaran kes, Jabatan Peguam Negara dan peguam Kerajaan Persekutuan akan membela bagi pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Nie Ching berkata, DAP akan bekerjasama dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur bagi memastikan niat mencabar kedudukan sekolah Cina dan Tamil tidak kesampaian.

“Kami tidak boleh menghalang seseorang untuk (bawa isu) ke mahkamah dan kami tidak leka.

“Jika dia mahu lakukan provokasi, maka kami pasti akan menggunakan sifat paling keras untuk mempertahankan hak belajar bahasa ibunda,” katanya.

Mohd Khairul Azam dipetik sebagai berkata, kalah dan menang isu sekolah vernakular belum ditentukan dan beliau sendiri sedang menyedia dokumen bagi membawakan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Naib Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Peng De Sheng berkata, pihak Mohd. Khairul Azam hanya melakukan kesilapan prosedur dan Mahkamah Persekutuan tidak menyatakan bahawa kedudukan sekolah Cina dan Tamil diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau justeru meminta masyarakat Cina melakukan persiapan sepenuhnya bagi menghadapi cabaran lebih besar di Mahkamah Tinggi.

Tambahnya, persatuan Cina jangan leka dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, tetapi perlu bersatu menghadapi pertubuhan dan individu yang mempertikaikan kedudukan sekolah vernakular.

“Keadaan politik terus menjurus kepada model perkauman dengan wujudnya pertubuhan dan individu yang asyik menyebut pendidikan satu aliran.

“Saya fikir ini bukan kes isolasi yang berlaku secara kebetulan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan kerjasama luar biasa antara pertubuhan bahasa Cina dan bahasa Tamil dalam menghadapi isu itu.

“Sistem sekolah Cina dan Tamil adalah mirip dan kami berkongsi nasib yang sama.

“Jika digabungkan tenaga persatuan Cina dan India, ia akan memberi kesan positif kepada perjuangan pendidikan bahasa ibunda,” katanya. – MalaysiaGazette