JHEAINS telah memanggil seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) semalam untuk memberi keterangan mengenai debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019, yang telah mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah memanggil seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) semalam untuk memberi keterangan mengenai debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019, yang telah mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah yang berkata pelajar berusia 25 tahun itu turut ditahan ketika hadir memberi keterangan yang bermula 11 pagi dan dibebaskan dengan jaminan pada pukul 5 petang, hari yang sama.

Katanya, siasatan berkaitan perkara itu dilakukan mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kita kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserah kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan untuk arahan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.

Pada 15 Okt lepas, Kementerian Pendidikan dilapor sebagai berkata meneliti kemungkinan mengambil tindakan terhadap ketua juri dan panel pemilih usul debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 susulan tular isu tajuk debat yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama.

Kementerian Pendidikan berkata hasil siasatan mendapati Ketua Juri iaitu Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal, selaku panel pemilih usul, tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal dari Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban di mana debat itu berlangsung.

Isu berkaitan Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 pada 11 dan 13 Okt lepas dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menjadi tular di laman sosial apabila antara tajuk yang diutarakan melibatkan topik-topik kontroversi berkaitan asas Islam.

— BERNAMA