Jeck Seng bercakap kepada media ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bertemu pemandu teksi di Terminal Teksi Pontian, di sini hari ini.

PONTIAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng mengakui beliau tidak berasa kekok untuk bersama dalam Muafakat Nasional.

Katanya, sebagai budak kampung beliau sudah biasa melalui kehidupan masyarakat berbilang kaum sejak kecil lagi.

Malah, Jeck Seng menyifatkan permuafakatan sebagai satu perkara mudah kerana konsepnya hanya mahu membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa tanpa ada agenda lain di sebaliknya.

Beliau berkata, perkara itu kini telah diterjemah di dalam Barisan Nasional apabila ceramah perdana yang dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan minggu lalu membuktikan bahawa muafakat telah menyatukan parti yang sebelum ini tidak pernah difikirkan akan bersama.

“Permuafakatan itu senang saja, saya duduk di kampung. Setiap hari lima hingga 10 tahun dahulu 10 tahun dulu di kampung mengamalkan sifat permuafakatan.

“Kita hidup aman jaya, kita duduk semeja, dengar rintihan , buat program, macam mana nak bantu, itulah sebahagian tanggungjawab wakil rakyat, jadi itu tak ada isu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bertemu pemandu teksi di sini hari ini.

Jeck Seng menjelaskan, permuafakatan adalah satu perkara penting dalam sesebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum serta perlu difahami budayanya.

Ujarnya, perkara itu menjadi prinsip dalam Muafakat Nasional dan pihak luar tidak boleh mempertikaikannya kerana ia mempunyai banyak faedah.

“Saya dah katakan dasar kita mengamalkan, yang penting kita nak harmoni bukan nak timbul isu.

“Permuafakatan itu penting untuk keseluruhan yang utama keharmonian kita agar boleh bersama ketika makan dan minum,” ujarnya. – MalaysiaGazette