Profesor Ekonomi Asia School of Business, Prof. Anella Munro berucap pada Sidang Kemuncak Ke-14 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) 2019 di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia. foto SYAFIQ AMBAK, 12 NOVEMBER 2019

JAKARTA – Asia School of Business (ASB) yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama MIT Sloan School of Management akan menawarkan program Master of Central Banking bagi pengambilan sulung pada Jun tahun depan.

Program ini cukup istimewa kerana ia adalah pendidikan pelopor khas dalam menyediakan kakitangan bank pusat yang berpotensi tinggi dari seluruh dunia.

Dalam erti kata lain, program ini bertujuan membentuk kakitangan bank-bank pusat pada masa depan dalam menghadapi perubahan pantas dan mencabar.

Profesor Ekonomi ASB, Prof Anella Munro berkata, program ini dianjurkan selama 12 bulan termasuk enam minggu di MIT Sloan.

MIT Sloan School of Management adalah sekolah perniagaan Institut Teknologi Massachusetts di Cambridge.

“Program ini sangat menarik kerana ia akan membimbing bakal pemimpin-pemimpin bank pusat daripada pelbagai latar belakang untuk masa depan yang lebih baik,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Forum Kemampanan Kewangan sempena Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) kali ke-14 di sini.

Lakaran artis bangunan Asia School of Business sedang dibangunkan berhampiran bangunan Bank Negara Malaysia Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 NOVEMBER 2019

Antara aspek-aspek yang ditekankan dalam program ini ialah polisi monetari, kemampanan kewangan, pengurusan rizab, sistem pembayaran, teknologi digital, etika pengurusan dan tadbir urus, pelaksanaan mandat serta pengurusan krisis dan stimulasi.

Penuntut juga akan diberi persediaan tentang big data, kecerdasan buatan (AI), ujian tekanan makro digital, persidangan tahunan bersama Bank for International Settlement (BIS).

Program itu akan diadakan di Kuala Lumpur.

Bangunan ASB yang terletak bersebelahan BNM yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Anella menambah, lembaga penasihat program Master of Central Bank ini terdiri daripada Robert C. Merton, Profesor Kewangan di MIT, yang juga penerima Nobel Memorial Prize dalam Sains Ekonomi bersama bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Kedua-dua tokoh ini adalah Pengerusi Bersama Majlis Penasihat program ini.

Selain mereka, sembilan lagi bekas Gabenor bank-bank pusat dari empat benua turut menyertai majlis penasihat.

Profesor Ekonomi Asia School of Business, Prof. Anella Munro memberi penerangan mengenai penasihat program Master of Central Banking pada pada Sidang Kemuncak Ke-14 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) 2019 di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia. foto SYAFIQ AMBAK, 12 NOVEMBER 2019

Master of Central Banking ini akan diajar oleh beberapa ahli fakulti dan pakar bank-bank pusat termasuk dari MIT Sloan.

Lima ahli akademik yang pakar dalam kewangan turut  dilantik sebagai residen fakulti.

Anella menambah, kos keseluruhan program ini bernilai AS$88,000 (kira-kira RM365,256). Jumlah itu termasuk kemudahan pembelajaran selama setahun dan lanjutan selama 6 minggu di MIT.

Kos tersebut juga merangkumi lawatan ke pusat kewangan di New York dan institusi kewangan antarabangsa di Washington.

Mereka yang berminat boleh memohon di https://apply.asb.edu.my/apply atau https://asb.edu.my/academic.program/master-of-central-banking. – MalaysiaGazette