Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda berjalan keluar selepas menghadiri perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi tidak membenarkan sebarang penangguhan lagi bagi memulakan perbicaraan kes kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mmeutuskan ia akan bermula Isnin depan.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan ketika memutuskan tarikh perbicaraan di sini sebentar tadi berkata, tidak ada keperluan untuk menangguhkan lagi perbicaraan kes ini yang akan dihadapi bersama-sama oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Ini juga merupakan perbicaraan ketiga bekas Perdana Menteri selepas prosiding SRC International Sdn Bhd dan kini sedang berlangsung, 1MDB yang sudah masuk hari ke-35 perbicaraan.

Kata Mohamed Zaini, pihaknya sukar untuk mencari tarikh baharu lagi sebaliknya lebih baik untuk memulakan perbicaraan seawal 18 November ini ketika pengurusan kes sebentar tadi.

“Susah untuk cari lagi tarikh baharu bagi perbicaraan ini, saya tetapkan kita ‘kick start’ dulu Isnin ini pada pukul 10 pagi,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang membuat permohonan bagi perbicaraan ini ditangguhkan berikutan saksi utama pendakwaan, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, sedang memberi keterangan dalam kes 1MDB yang dihadapi Najib.

Sri Ram berkata beliau perlu menyediakan kenyataan pembukaan kes dan memantau pasukan pendakwaan.

“Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan beliau berkemungkinan tidak dapat menyelesaikan soal balas terhadap Shahrol Azral pada 14 November ini, manakala perbicaraan dijangka bermula 18 November ini.

“Ia akan memprejudiskan kes pihak pendakwaan sekiranya Shahrol masih memberi keterangan pada perbicaraan 1MBD,” kata Gopal Sri Ram minggu lepas.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2019.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 18 November hingga 29 November 2019 dan 13 Januari hingga 17 Januari 2020 untuk perbicaraan kes itu.

Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama pada 4 Januari lepas.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya pada 12 Disember tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Najib dan Arul yang hadir ketika pengurusan kes sebentar tadi kelihatan tenang dan sempat melambai dan senyum kepada pengamal media. –MalaysiaGazette