Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang klausa dalam Peraturan Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2014 menetap atau menghadkan mana-mana individu yang perlu diundang sebagai perasmi Kongres Nasional sayap PKR itu.

Sebaliknya mana-mana pimpinan tertinggi PKR boleh diundang untuk merasmikan Kongres Nasional AMK yang dijadualkan berlangsung di Melaka, Disember ini.

“Bagi meredakan pertikaian segelintir pihak mengenai keputusan ini, kami ingin tekankan bahawa Peraturan Tetap AMK 2014 memberi kuasa kepada Majlis Pimpinan AMK untuk menguruskan sepenuhnya hal ehwal pengurusan Kongres Nasional Tahunan AMK,” kata AMK dalam kenyataan bersama 14 Ketua AMK Negeri, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Hilman Idham membidas tindakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang membatalkan jemputan
kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi kongres itu pada saat akhir.

Muhammad Hilman menyifatkan tindakan Saifuddin itu mencermin dan menguatkan desas-desus bahawa parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu sedang dilanda krisis kepimpinan.

Kenyataan Muhammad Hilman itu telah mendapat sokongan 21 daripada 25 ahli pimpinan AMK Malaysia.

Kongres Nasional AMK PKR akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), pada 6 Disember ini.

Dalam pada itu, 14 pemimpin AMK Negeri itu juga menyokong penuh ketetapan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia pada 20 Oktober 2019 yang memutuskan untuk mengundang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi kongres berkenaan.

“Kami yakin dan percaya keputusan ini dibuat setelah mesyuarat menimbang tara semua keadaan yang perlu.

“Ini juga merupakan satu pengiktirafan atas segala jasa bakti Datuk Seri Dr Wan Azizah selama beliau memimpin Parti Keadilan Rakyat sejak 1998,” katanya lagi.

Antara 14 ketua AMK Negeri terbabit ialah Yuneswaran Ramaraj (Johor), Naim Brundage, (Wilayah Persekutuan), Muhd Hafiz Muhd Kasasi (Kelantan), Prasanth Kumar Brakasam (Melaka), Nor Azam Karap (Perlis), Fahmi Zainol (Pulau Pinang).

Turut menyokong, Saifunnizam Sam (Sarawak), Mohd Mustaqim Abdul Jalil (Pahang), Ahmad Izzuddin Ismail (Negeri Sembilan), Mohamad Hairul Amir Sabri (Perak), Najwan Halimi (Selangor), Mohd Huzaifah Md Suhaimi (Terengganu) Raymond Ahuar (Sabah) dan Mohammed Firdaus Johari (Kedah). – MalaysiaGazette