Nizam Bashir
Peguambela, Nizam Bashir ketika hadir pada perbicaraan kes anak tak sah taraf di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan kes rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya ke tahun hadapan.

Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang mengetuai 7 panel Hakim Mahkamah Persekutuan itu menangguh keputusan kes berkenaan selepas ia didengar semula sejak jam 9.30 pagi hingga jam 2 petang, hari ini.

Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) membantah permohonan satu pasangan untuk menukarkan ‘bin Abdullah’ kepada ‘bin Muhammad Eddy’ di dalam sijil kelahiran anak tidak sah taraf mereka.

Menurut Sulaiman, permohonan pasangan itu bertentangan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 10 Jun 2003 mengenai Anak Tak Sah Taraf.

Malah keputusan jawatankuasa itu telah digazetkan oleh Jabatan Mufti Johor berkenaan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya jika anak terbabit lahir kurang 6 bulan mengikut Takwim Qamariah dari tarikh setubuh.

Selain itu, Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob yang mewakili JPN, Ketua Pengarah JPN dan kerajaan Malaysia pula menegaskan bahawa orang Melayu dan Islam tidak meletakkan “surname” atau nama keluarga dalam sijil kelahiran.

Sebaliknya Mazlifah menjelaskan, orang Melayu dan Islam di negara ini hanya meletakkan nama anak dengan dibin atau dibintikan kepada bapa kandungnya.

Peguambela, K. Shanmuga ketika hadir pada perbicaraan kes anak tak sah taraf di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

Sementara iti, peguam K. Shanmuga dan Nizam Bashir yang mewakili bapa kanak-kanak berkenaan dalam hujahnya menegaskan kerajaan perlu menggugurkan perkataan Seksyen 13 yang dicetak di bahagian bawah sijil kelahiran anak tidak sah taraf.

Shamnuga berkata, memandangkan orang Melayu dan Islam tidak menggunakan “surname” di dalam pendaftaran sijil kelahiran, tidak wajar Seksyen 13 dicetak bersama kerana tidak mahu mengaibkan anak tidak sah taraf terbabit.

Dalam pada itu, Hakim Datuk Abang Iskandar mengarahkan peguam yang mewakili bapa kanak-kanak, JPN, MAIJ dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengemukakan dokumen bagi menyokong hujan masing-masing berkenaan “surname”.

Pendengaran semula kes anak tidak sah taraf dibenarkan dibin dan dibintikan bapa kandungnya di hadapan 7 panel hakim, antaranya Datuk Rohana Yusof, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Tan Sri Idris Harun, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Ong Lam Kiat Vernon dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada satu pasangan dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak Ketua Pengarah JPN menggantikan nama “Abdullah” pada kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ketika hadir pada perbicaraan kes anak tak sah taraf di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulis 25 Julai 2017 memutuskan nama anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah boleh “dibin atau dibinti” nama bapanya, bukannya “Abdullah”.

Pada 7 Februari 2018, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang mengetuai panel lima hakim terdahulu, telah mendengar rayuan itu tetapi menangguhkan keputusannya.

Bagaimanapun, Raus telah meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Julai lalu.

Anggota lain dalam panel tersebut iaitu hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Balia Yusof Wahi dan hakim Datuk Aziah Ali telah bersara kecuali Ahmad.

Di bawah Seksyen 78 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, minimum dua hakim diperlukan untuk menyampaikan penghakiman Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette