KUALA LUMPUR – Dengan tinggal baki sehari sahaja lagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, masing-masing sudah menggerakan jentera bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti mereka dengan yang ketaranya adalah pertembungan antara calon Bersatu dan Barisan Nasional (BN).
Hari ini MIC melalui Pemuda MIC Selangor tampil memberikan lima sebab mengapa pengundi di PRK Tanjung Piai perlu menolak sahaja Pakatan Harapan (PH) yang kini berjaya menjadi kerajaan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.
Ketua Pemuda MIC Selangor, Sritheran Renganathan yang menggariskan lima sebab mengapa perlu menolak calon Bersatu sekaligus kerajaan yang ketika ini terlalu banyak kepincangan pada masa ini.
Antaranya kata Sritheran, Perdana Menteri mahupun Ahli Kabinet seolah-olah tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan malah kebal undang-undang selain tidak mengambil peduli perasaan rakyat yang telah mengundi mereka sehingga berjaya membentuk kerajaan persekutuan.
Katanya, rata-rata mereka ini selalu mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman sehingga menggangu gugat perasaan dan kedudukan semua di negara ini.
“Saya beri contoh seperti bagaimana Perdana Menteri menggelar rakyat Malaysia berbangsa India dan Cina sebagai orang asing manakala Menteri Kewangan pula menuduh kerjasama di antara orang Melayu sebagai deklarasi perang terhadap orang bukan Melayu.
“Bagaimana pula dengan ‘rule of law’ yang seringkali di canang oleh PH sebelum menang besar pada PRU lepas? Kini yang digunakan oleh mereka adalah ‘rule of jungle’.
“ Di PRK Tanjung Piai sahaja terdapat hampir 10 kesalahan pilihan raya oleh pimpinan PH melibatkan pemberian wang, penyalahgunaan aset kerajaan serta membuat kenyataan-kenyataan berniat jahat dan berbaur perkauman. Walaupun begitu jelas, SPR terus dikawal dan dikongkong oleh kerajaan kini sehingga SPR sendiri terpaksa berdiam diri,” dakwanynya.
Jelas Sritheran yang juga seorang pengamal undang-undang, contoh ketiga adalah bagaimana sejak PH mengambil tampuk pemerintahan dengan segala macam janji terutamanya ekonomi negara akan lebih stabil di bawah pimpinan akhirnya tinggal angan-angan sahaja.
“Ekonomi negara semakin merundum akibat sikap serta tindakan ‘besar kepala’ kepimpinan PH yang mencari pasal dengan negara – negara dunia yang lain. Pada awalnya dengan China dan yang terbaharu dengan India yang akhirnya memakan diri apabila kedua-dua negara tersebut mula bertindak balas dengan mengurangkan juga unsur-unsur memboikot Malaysia.
“Siapa yang rugi? Siapa yang susah? Bukan menteri-menteri itu sebaliknya rakyat jelata yang bukan sahaja percayakan janji serta pembohongan mereka. Akhirnya rakyat juga yang merana dan terkontang kanting pada hari ini. Anda semua sendiri sedang lihat bagaimana sejak hampir dua tahun PH memerintah, hasilnya?,” soalnya.
Selain daripada itu, jelas Sritheran tadbir urus negara yang lemah sehinggakan aset negara bernilai hampir RM30 bilion telah dijual oleh kerajaan atas macam-macam alasan tidak kurang daripada 500 hari.
“Penjualan aset ini termasuk aset-aset pelaburan strategik negara dalam bentuk projek ataupun pegangan saham dalam pelbagai bidang. Hutang negara pula meningkat sebanyak RM 58 Billion, dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 2019 walaupun sebelum ini PH yang mendakwa negara akan bankrap dan sebagainya.
“Ingat lagi ketika kempen PRU lepas, isu negara bankrap dan bakal bankrap ini seringkali menjadi bahan untuk membeli undi daripada rakyat? Rakyat di takt-takutkan oleh mereka kononnya kerajaan terdahulu akan memusnahkan negara yang telah dipertintah lebih 60 tahun.
“Kini apa yang anda lihat? Tidak sampai dua tahun, semua usaha kerajaan terdahulu seolah-olah lenyap sedangkan yang sedang menanggung keperitan itu adalah rakyat,” tegasnya.
Sritheran juga membangkitkan janji-janji manifesto PH walaupun setelah 18 bulan memerintah negara, hampir apa yang di janjikan hanya sekadar untuk mendapatkan kepercayaan rakyat demi kuasa.
“Kini datang PRK, mereka janji-janji lagi. Janji senanglah, untuk tunaikan? Untuk membuktikan tohmahan yang di buat sebelum ini pun mereka tidak mampu.
“Jika sebelum ini mereka menggunakan ‘hutang negara’ sebagai alasan sekarang mereka berterus – terang serta memperakui bahawa manifesto bukanlah kitab suci sampai semua janji perlu ditunaikan.
“Malah ada juga yang tidak malu, dulu kata 100 hari boleh tertunai janji, apapun boleh. Seperti magik. Tapi kini merayu meminta masa untuk memerintah lebih lama lagi supaya semua janji itu dapat ditunaikan.
“Rakyat mengundi PH dalam PRU lepas sebab mereka mahukan perubahan tetapi sekarang, semakin hari, semakin terbukti sikap sebenar PH yang hipokrit. Segala janji bulan dan bintang mereka terbukti sebagai penipuan yang hanya sekadar bertujuan untuk mendapatkan kuasa memerintah.
“Tatkala mereka menikmati kuasa, rakyat di luar terus diabaikan seolah – olah peribahasa ‘habis madu sepah dibuang’. Gunakanlah PRK Tanjung Piai ini sebagai medan untuk mengajar mereka ini secukupnya – cukupnya. Kita wajib menolak PH atas kegagalan mereka untuk tadbir urus negara seperti yang dijanjikan.
“Undilah BN sebagai tanda anda telah sedar dan celik dengan pembohongan serta retorik PH. Biarlah mereka sedar dan cuba untuk menjadi kerajaan lebih baik selepas ini atau rakyat akan tumbangkan mereka selamanya pada PRU-15 kelak,” ujarnya. –MalaysiaGazette