Datuk Liew Vui Keong. foto SYAFIQ AMBAK, 27 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Arahan permohonan permit untuk kempen dari rumah ke rumah tidak berniat jahat seperti yang didakwa pembangkang.

Sebaliknya kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, perkara tersebut bukan sahaja telah dbincangkan sejak awal malah ketetapan itu diumumkan pada hari penamaan calon bersama-sama dengan pihak polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ejen calon.

“Perbincangan diadakan pada hari pertama. Sebanyak 42 permit diluluskan oleh polis.

“Ia bukan sesuatu yang baru dan tidak diputuskan pada saat akhir,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) di Dewan Rakyat yang mempertikai arahan itu dilakukan pada saat-saat akhir berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Namun Vui Keong berkata, negara mempunyai undang-undang untuk diikuti sejak kemerdekaan dan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil diadakan berdasarkan kedaulatan undang-undang.

“Dalam mana-mana pilihan raya, kita semua berada di lapangan yang sama, mendesak pengundi untuk mengundi calon masing-masing,” tambahnya.

Selasa lalu, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semua parti dan calon yang bertanding Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai diingatkan, kempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada polis kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Katanya, program tinjauan mesra (walkabout) pula yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, ketetapan itu dibuat demi mengelakkan pertembungan antara parti bertanding. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast