KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi pesanan serta nasihat kepada pemain dan penyokong Harimau Malaya menjelang perlawanan menentang Thailand pada malam ini dan Indonesia pada 19 November akan datang.
Menerusi tulisannya dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli menyatakan seluruh rakyat Malaysia akan mendoakan semoga skuad Harimau Malaya dapat mempamerkan permainan terbaik dan sepenuh hati.
Beliau turut meminta para pemain agar mencontohi semangat legenda bola sepak tanah air iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari yang sentiasa bersemangat memberikan aksi terbaik bagi menjulang nama Malaysia.
“Apa jua yang berlaku, anda membawa nama Malaysia. Maka, usah biarkan titisan peluh anda mengalir dengan sia-sia.
“Para pemain juga harus berjiwa besar dan tidak pantas merendah diri dengan lawan yang mungkin mempunyai reputasi yang lebih baik daripada kita.
“Contohilah sifat para tentera Islam dahulu walaupun dipandang enteng oleh dunia saat itu, mereka berperang dengan penuh bersemangat hingga berjaya mengalahkan tentera Rom dan Parsi yang mempunyai reputasi yang hebat ketika itu,” pesan beliau.
Selain itu, Zulkifli turut menasihati pemain ke-12 atau lebih dikenali sebagai Ekor Harimau Malaya agar dapat menjaga adab dan mempamerkan akhlak yang baik kepada para pemain dan penyokong pasukan pelawat.
“Ayuh, Harimau Malaya! Berikan yang terbaik dan semoga berjaya. Anda tetap dan sentiasa menjadi kebanggaan kami rakyat Malaysia.” kata Zulkifli di akhir tulisannya. – MalaysiaGazette