Ketua Polis Negara, Tan Sri Ahmad Hamid Bador. foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2019
JERANTUT – Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menegaskan bahawa beliau tidak gentar untuk disiasat oleh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) jika terdapat aduan terhadapnya.

Malah beliau turut menyatakan kesediaan untuk disiasat walaupun tanpa IPCMC jika ternyata beliau ada melakukan kesalahan sepanjang memegang jawatan nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya juga adalah warganegara Malaysia yang tertakluk kepada undang-undang yang sama seperti rakyat lain… Apa istimewanya KPN (Ketua Polis Negara) sehingga boleh melakukan sesuatu di luar undang-undang

“Adakah saya boleh mencekik atau membunuh orang Tidak, saya tidak akan bantah (siasatan oleh IPCMC) dan saya tidak gentar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Sekolah Kebangsaan Jerantut di sini hari ini.

Abdul Hamid menambah tiada keperluan untuk berasa takut kepada IPCMC jika seseorang tidak melakukan kesalahan, sekali gus menjadikan beliau tidak mempunyai masalah kepada klausa untuk menyiasat KPN.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin semalam, bahawa semua anggota PDRM termasuk KPN tidak terkecuali daripada siasatan IPCMC.

Pada perkembangan lain, Abdul Hamid berkata arahan supaya parti politik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai mendapatkan permit bagi kempen rumah ke rumah dan tinjauan mesra tidak dibuat atas arahan atau desakan mana-mana pihak.

Sebaliknya, arahan itu yang hanya melibatkan pengisian borang dengan butiran kempen dibuat atas pertimbangan faktor keselamatan, bagi mengelakkan pertembungan antara calon yang bertanding di lokasi sama pada satu-satu masa, katanya.

“Tapi dalam isu ini dua-dua pihak juga marah dan tidak puas hati, baik dari Pakatan Harapan atau Barisan Nasional. Jika kedua-dua pihak tidak mahu, kita boleh tarik semula (arahan itu) bila-bila masa.

“Saya juga tidak mahu ada sekatan pada politik dan seboleh-bolehnya kita mahu demokrasi itu lebih lagi. Kita buat atas faktor keselamatan. Jika berlaku apa-apa esok, saya tidak mahu lepas tangan dan akan ambil tindakan jika melibatkan keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata berdasarkan pemerhatiannya di Tanjung Piai selepas dua kali berkunjung ke situ, beliau melihat suasana kempen berlangsung secara sihat dan tiada perkara besar yang perlu dibimbangkan.

— BERNAMA

3 Komen

  1. Syabas Tan Sri. Jangan gentar menegakkan keadilan sejagat. Pada pandangan saya, semua organisasi penguatkuasaan perlu ada badan berkecuali menyelaras, memantau dan di bawah naungan DYMM Agong supaya perlakuan unsur campur tangan politik berat sebelah tidak di takrif di mata rakyat. Ini seharusnya termasuk SPRM, dan juga Jabatan Peguam Negara, dan institusi kehakiman. Keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, malahan perlu dilihat ditegakkan. Bukan sewenang-wenangnya, membuat satu-satu keputusan ” unilateral” dan menimbulkan kesangsian dan kemarahan rakyat.

  2. Itulah sebenarnya yg rakyat nak lihat,demi kebaikan semua secara x langsung menaikan intergriti anggota diseluruh negara.syabas Tan Sri.amanah yg akan dibawa keakhirat.

Comments are closed.